Kedah Harap Lebih Pendedahan Perbankan Digital


ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mahu peserta industri kewangan memberi lebih banyak pendedahan dan pengetahuan mengenai perbankan digital termasuk kaedah pembayaran secara elektronik kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah itu bertujuan memastikan masyarakat mendapat akses kepada kemudahan perbankan yang lebih luas sesuai dengan perubahan semasa sektor kewangan.

“Perkhidmatan kewangan yang meluas dan mencakupi pelbagai segmen pengguna adalah penting dalam memastikan keupayaan ekonomi sebuah komuniti.

“Bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kewangan di luar bandar, inisiatif ejen perbankan telah dijalankan dengan lebih 500 ejen bank beroperasi di negeri ini,” katanya dalam ucapan pelancaran Karnival Kewangan Kedah di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan; Perdagangan​​​​​​​ Dalam Negeri; Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi; dan Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, Kedah beriltizam untuk terus menjadi peneraju​​​​​​​dalam sektor pengeluaran padi menerusi inisiatif yang diperkenalkan Lembaga Kemajuan​​​​​​ Pertanian Muda (MADA), antaranya mewujudkan mini estet atau estet pagi bagi menjamin penanaman padi terus produktif.

Beliau berkata, strategi itu bertujuan merangsang dan mempelbagaikan ekonomi negeri untuk mencapai pertumbuhan tinggi, menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan potensi pendapatan rakyat Kedah.

Ekonomi Kedah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 3.2 peratus​​​​​​​ pada 2016, didorong sektor perkhidmatan dan pembuatan, manakala KDNK per kapita meningkat daripada​​​​​​​ RM14,034 pada 2010 kepada RM19,152 pada 2016.

“Sektor perkhidmatan terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri dengan menyumbangkan 55.3 peratus kepada KDNK negeri Kedah, dengan aktiviti ekonomi berasaskan perkhidmatan, contohnya pelancongan, adalah penyumbang terbesar,” katanya.

Karnival Kewangan Kedah, dianjurkan Bank Negara Malaysia, berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di TH Hotel & Convention Centre di sini.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasakan pengetahuan kewangan masyarakat selain​​​​​​​ menyediakan akses untuk memperolehi kemudahan perkhidmatan perbankan dan insurans yang disediakan oleh agensi perbankan dan kewangan di negara ini. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com