Kaunter Bergerak Semak WTD Untuk Penduduk Luar Bandar


JERLUN - Kementerian Kewangan akan mewujudkan kaunter bergerak untuk memudahkan penduduk luar bandar menyemak Wang Tak Dituntut (WTD).

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, kemudahan tersebut boleh didapati melalui Pusat Transformasi Komuniti Bergerak yang akan turun ke kawasan luar bandar.

“Ia untuk memudahkan penduduk menyemak status WTD  sama ada wang itu ada atau tidak.

"Jika ada baru kita teruskan dengan proses selanjutnya di Jabatan Akauntan Negara di Alor Setar,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Program Karnival Jerlun For Jerlun di Pejabat Daerah Jerlun, semalam.

Menurutnya, setakat Disember lalu, dianggarkan sebanyak RM5.8 bilion jumlah WTD yang masih belum dituntut pemilik akaun.

Sementara itu, Karnival Jerlun For Jerlun yang berlangsung pada 9 dan 10 Februari depan di Kompleks Sukan Komuniti Jerlun akan membuka peluang kepada anak muda Jerlun mendapatkan pekerjaan.

Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, sebanyak 16 agensi kerajaan akan turut serta dalam karnival ini selain beberapa agensi di bawah Kementerian Kewangan yang akan dibawa melalui Pusat Transformasi Komuniti Bergerak.

“Saya harap anak muda Jerlun dapat ambil peluang ini di mana terdapat banyak jawatan kosong di seluruh negara akan kita tawarkan nanti,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com