Kastam Nafi Jual Gitar ‘Martin’ Melalui Laman Web


PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan penglibatannya dalam sebarang kegiatan penjualan gitar jenama ‘Martin’ melalui sebuah laman web.

Sebuah laman web berbahasa Mandarin telah melaporkan perkara tersebut menerusi catatan bertajuk ‘Jabatan Kastam Mengadakan Jualan Diskaun, Gitar Terbaik Dunia, Gitar Jelajah Martin’.

Ketua Cawangan Perhubungan Awam Ibu Pejabat JKDM Putrajaya, Mohd Hisham Mohd Nor berkata JKDM tidak pernah membuat penjualan barangan rampasan kepada orang awam melalui pihak ketiga.

“Kaedah yang digunakan sindiket ini adalah melalui pengiklanan pada laman sesawang itu yang mendakwa gitar jenama Martin itu akan dijual dengan harga RM388 seunit dan RM588 untuk dua unit berbanding harga dalam pasaran, dianggarkan bernilai RM4,335 seunit.

“JKDM memandang serius dan menasihatkan orang awam berwaspada bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. Jangan lakukan sebarang transaksi tanpa membuat semakan dengan JKDM terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hisham berkata untuk sebarang semakan dan pertanyaan lanjut, orang awam boleh menghubungi pusat panggilan JKDM di talian 1300-888-500 (pertanyaan umum), 1800-888-855 (aduan penyeludupan), 03-88822100 (ibu pejabat Putrajaya) atau menerusi e-mel pertanyaan ccc@customs.gov.my dan aduan@customs.gov.my. –  Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com