Kampung Bandar Jadi Pilihan Kampus UITM Baling


BALING – Tanah seluas 65.2 hektar di Kampung Bandar di Mukim Siong, kira-kira sembilan kilometer dari sini, telah dikenal pasti sebagai tapak pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Baling, kata Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Katanya, faktor pemilihan tapak tersebut disebabkan lokasi yang strategik dengan kemudahan utiliti dan nilai tanahnya yang bersesuaian.

“Ada empat lokasi menjadi pilihan dan akhirnya Kampung Bandar dipilih… bagaimanapun keputusan dan dokumentasi mengenai lawatan akhir ke tapak cadangan itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan tersebut semalam.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Zulkifli Alias dan Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman.

Pada Mei 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan tiga lagi kampus baharu UiTM di utara Semenanjung iaitu di Lumut, Perak; Balik Pulau, Pulau Pinang, dan Baling, Kedah. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com