Kambing Di Pokok Sena Ketagih Minum Kopi


ALOR SETAR - Bukan sahaja orang-orang tua yang ketagih dan bergelora setiap kali bau aroma air kopi, tetapi seekor kambing berusia setahun yang diberi nama "Botoi" dikatakan boleh menghabiskan tiga jag air kopi setiap hari.

Apa yang mengejutkan, kadang-kadang sekiranya tiga jag tidak cukup untuk memberi kepuasan keenakan kopi, maka Botoi akan 'merengek' minta lagi.

Ini bukannya fiksyen atau rekaan, tetapi itu memang perangai seekor kambing yang dipelihara oleh Nor Azura Abdul Mutalib, 44 tahun, dari Kampung Pechah Gadong di Pokok Sena, Kedah.

Nor Azura berkata, jika Botoi ‘merajuk’ gara-gara tidak puas minum kopi, dia akan memujuk kambing itu dengan memberi makan jajan.

"Kambing ni bergelora lah, dia ketagih kopi. Kalau dia nampak kita datang pegang cawan, dia teruja.

"Saya bagi dia makan dari botol dari kecil lagi, sejak ibu dia tiada. Bila dah hilang botol, bagi dia makan kopi. Jadi sampai sekarang dia ketagih kopi," katanya.

Walaupun kambing itu berperangai manja, Botoi juga seperti haiwan yang lain apabila suka bermain di dalam lumpur bersama kerbau yang dipelihara jirannya.

Botoi antara 4 ekor kambing yang dipelihara Nor Azura selepas lima ekor kambing dewasanya, termasuk ibu botoi, dikebas orang.

Nor Azura yang mula membela kambing sejak 10 tahun lalu tidak terasa aneh langsung dengan perangai Botoi, malah hanya terhibur. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com