"Kalau Tak Suka Mahathir Jadi PM, Jangan Undi Dia," Kata Anak Muda PPBM


Mereka yang tidak menyenangi Tun  Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan tidak seharusnya merosakkan undi atau memboikot pilihan raya umum akan datang.

"Sebaliknya jangan undi Dr. Mahathir di kawasan Pengerusi Pakatan Harapan itu bertanding.  Misalnya,  kalau Dr. Mahathir bertanding  Langkawi, tak perlu undi (Mahathir) ," kata pemimpin Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ashraf Mustaqim.

Dr. Mahathir baru-baru ini membayangkan akan bertanding di salah satu Parlimen sama ada di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya.

Ashraf  berpendapat  Pakatan Harapan tidak wajar dipulaukan kerana ia tidak adil untuk calon lain.
Sementara itu seorang aktivis, Maryam Lee  menyatakan golongan pengundi muda di negara ini dikatakan kecewa apabila PPBM diterima menyertai Pakatan Harapan.

Portal Free Malaysia Today (FMT) dalam laporannya semalam menyebut memetik Marya sebagai berkata  PH mengecewakan banyak pihak apabila menerima PPBM dalam pakatan pembangkang.

Selain tidak berpuas hati dengan tawaran PH terutama langkah menamakan Dr Mahathir  sebagai calon perdana menteri, beliau berkata, ramai anak muda turut tidak berpuas hati dengan tawaran Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak mahu Dr Mahathir menjadi perdana menteri seterusnya," katanya ketika menjadi panel forum 'Undi Rosak: Kau Nak Apa Sebenarnya'  kelmarin.

Maryam mendakwa, kempen #UndiRosak yang digerakkan di laman sosial terutama Twitter, bukan bertujuan mempengaruhi kepercayaan pengundi, sebaliknya mahu 'mendidik' mereka untuk memberi pengajaran kepada PH.

Maryam dilaporkan berkata, ia adalah petanda pentadbiran PH mungkin lebih buruk berbanding BN. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com