Kain Rentang Di Laguna Merbok Sungai Petani Diconteng Cat Hitam


ALOR SETAR - Kain rentang berhampiran Caltex Laguna Merbok, Sungai Petani yang diconteng cat berwarna hitam memaparkan ucapan Selamat Datang ke Tanjung Dawai telah menimbulkan perasaan penduduk setempat.

Kejadian itu disedari Ketua UMNO Cawangan Taman Desa Jaya, Ahmad Rusydi Md Nor apabila terpandang ''banner'' yang diconteng tersebut ketika melalui kawasan itu semalam pada jam 11 pagi.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh wakil Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai kira-kira 2.28 petang semalam.

Jelas Ahmad Rusydi laporan polis itu kerana pihaknya bimbang dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan perasaan tidak sedang dalam kalangan orang ramai.

"Saya berharap pihak polis melakukan siasatan segera sekali gus menahan dan mendakwa pihak terbabit yang cuba melakukan provokasi dan menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan orang ramai serta bertujuan memalukan imej pemimpin tempatan terbabit.

"Jelas di sini ada pihak yang cuba memainkan sentimen politik dan saya bagi pihak Tajul Urus menolak perbuatan tidak matang ini dan permusuhan yang cuba dibawa oleh mereka.

"Laporan ini juga diharapkan dapat mencegah perbuatan seumpama ini berlaku pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan cat berwarna hitam di bawah ‘bunting’ yang dipasang.

"Bagaimanapun, polis tidak menjumpai sebarang bahan yang digunakan terhadap kesan cat itu.

"Bunting itu sudah tiada di tempat kejadian dan dipercayai sudah diturunkan dan diganti dengan yang lain," katanya memetik MyMetro.

Tambah Ahmad Saifi, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com