Kafeteria Ada Sijil Halal Di Olimpik Korea Selatan


PENGILANG makanan runcit gergasi Shinsegae Food Inc, memperoleh sijil halal untuk kafeterianya yang akan beroperasi semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan bulan depan.

Menurut Shinsegae, ia sebagai sebahagian usaha untuk memenuhi keperluan atlet dari seluruh duni, lapor agensi berita Yonhap.

Shinsegae Food berkata, zon makanan halalnya di perkampungan atlet telah menerima sijil halal dari Persekutuan Muslim Korea, sebuah badan pensijilan yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (JAKIM).

Syarikat itu menyediakan makanan untuk kira-kira 10,000 orang, termasuk atlet, pentadbir dan kakitangan operasi serta petugas media.

Di samping itu Shinsegae bersedia untuk melancarkan zon halal untuk atlet Islam, yang merangkumi kira-kira lima peratus daripada jumlah keseluruhan peserta.

Olimpik Musim Sejuk dijadual pada 9 hingga 25 Februari di Pyeongchang, kira-kira 180 kilometer di timur Seoul, serta di bandar berdekatan Gangneung dan Jeongseon yang turut menjadi hos bersama. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com