Kabus Tebal Selimuti Kota Bharu Pagi Ini


KOTA BHARU - Kabus tebal dan suasana sejuk melanda beberapa kawasan di daerah ini, selepas hujan lebat pada awal pagi ini.

Bagaimanapun, keadaan pulih seperti biasa sehingga 9 pagi tadi.

Penjawat awam, Salmizi Che Mat, 39, berkata dia seolah-olah berada di Cameron Highlands ketika mengharungi cuaca itu ke tempat kerja.

Katanya, hujan lebat pada awal pagi berkemungkinan menjadi punca kabus tebal itu.

"Saya terkejut melihat cuaca ini dan jarak penglihatan juga agak terhad, namun banyak kenderaan menyalakan lampu sebagai keselamatan.

"Jarang kita boleh lihat dan rasai keadaan berkabus dan sejuk seperti ini di Kota Bharu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Peniaga kedai makan, Che Yah Che Mud, 37, dari Pasir Hor berkata, kebiasaannya keadaan berkabus berlaku sehingga 7 pagi, namun berbeza hari ini.

"Saya biasa keluar awal pagi untuk beli barang keperluan dan memang keadaan kabus cukup tebal dan sejuk tidak seperti hari lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Al Adawiyah Zakaria, berkata keadaan kabus tebal itu berlaku berikutan hujan lebat selama beberapa jam, sejak awal pagi tadi.

"Ini keadaan biasa sekiranya hujan lebat berlaku," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com