“Jumpa Baru Bayar” Adil Dalam Misi Cari MH370


KUALA LUMPUR – Perjanjian “no cure, no fee” atau “jumpa baru bayar” merupakan pendekatan sesuai dalam menyambung semula misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac 2014, menurut pakar penerbangan.

Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat , Ocean INFINITY Limited, untuk memulakan misi pencarian baharu di selatan Lautan Hindi itu akan menjamin kerajaan mendapat perjanjian yang adil dari segi bayaran kewangan.

“Tiada gunanya membayar perkhidmatan yang tidak mendatangkan apa-apa hasil, oleh itu membuat pembayaran selepas mendapat hasilnya merupakan satu pendekatan optimum untuk mengurangkan atau mengelakkan kerugian modal,” katanya kepada Bernama.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Rabu mengumumkan di bawah perjanjian itu, usaha menjejaki MH370 akan bermula pada pertengahan Januari menggunakan kapal Seabed Constructor membabitkan kawasan seluas 25,000 km persegi dalam tempoh 90 hari.

Keutamaan misi kapal itu adalah untuk mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan/atau kedua-dua rakaman penerbangan; rakaman suara kokpit (CVR) dan rakaman data penerbangan (FDR).

Mohd Harridon percaya langkah meneruskan usaha menjejaki pesawat itu merupakan inisiatif penting di pihak kerajaan dan sektor swasta yang sekali gus dapat menyelesaikan satu daripada misteri terbesar dalam sejarah penerbangan itu.

Seorang penyelidik di sebuah syarikat penerbangan tempatan, Ahmad Maulan Bardai yang turut bersetuju dengan misi pendapat itu berkata perjanjian itu berkait rapat dengan aspek undang-undang.

Beliau berkata sepatutnya tiada lagi pencarian rasmi dilakukan pihak kerajaan berikutan penyiasatan rasmi merumuskan “pesawat itu hilang”.

“Selain itu, kerajaan tidak boleh lagi memberikan komitmen dari segi kewangan untuk sesuatu yang tidak pasti. Lagipun, usaha pencarian dan pembiayaan ini sudah menjadi amalan dalam industri perkapalan,” katanya.

Ahmad Maulan berkata keputusan dibuat oleh menteri patut dipuji demi masa depan industri penerbangan global.

Beliau berkata terdapat banyak soalan belum terjawab yang mungkin memberikan implikasi besar terhadap reka bentuk, penyelenggaraan, prosedur operasi dan amalan syarikat penerbangan dan lapangan terbang untuk memastikan keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal.

“Ini tidak termasuk keperluan untuk menyelesaikan kebimbangan anggota keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat,” katanya dan menurutnya semua usaha perlu diambil untuk mencari dan menemukan bangkai pesawat itu supaya semua soalan itu terjawab.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, dan dikategorikan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

Australia, China dan Malaysia, yang menyelaras dan membiayai secara bersama operasi pencarian telah menggantung misi pencarian MH370 pada Januari tahun lalu selepas tiada kesan pesawat Boeing itu dijejaki di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Setakat ini, hanya tiga cebisan disahkan daripada MH370 telah ditemukan, kesemuanya di pantai di selatan Lautan Hindi, termasuk sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai flaperon. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com