Jualan Murah Di Padang Besar Habis Disambar Kurang Tiga Jam


PADANG BESAR - Tidak sampai tiga jam, hampir semua barangan keperluan yang dijual murah habis disambar pembeli pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Pasar Pagi Bukit Keteri di sini, pagi tadi.

Barangan keperluan asas meliputi 400 kampit beras 10 kilogram (kg), 6,000 telur ayam dan 1,000kg masing-masing bagi minyak masak, tepung gandum serta gula, habis dijual sekitar jam 10 pagi walaupun program Parlimen Padang Besar itu berakhir sejam kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Asmaiza Ahmad, berkata program sedemikian akan dianjurkan setiap bulan selama enam bulan membabitkan tiga Parlimen di Perlis.

"Ini adalah permulaan. Seterusnya, program dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan ke Arau pada 28 Januari dan Kangar 31 Januari ini.

"Mengikut perancangan, setiap Parlimen akan menganjurkan program jualan murah ini dua kali sebulan. Cuma, bulan ini bermula lewat tetapi kita akan pastikan ia diganti pada bulan berikutnya. Selama enam bulan, kita akan menganjurkan 36 program jualan murah di Perlis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat di tapak Pasar Pagi Bukit Keteri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asmaiza berkata, program hari ini dikunjungi kira-kira 2,000 penduduk sekitar Padang Besar untuk membeli barangan keperluan.

"Kita tidak sangka ia akan mendapat sambutan menggalakkan. Kita turut menyediakan 1,000 bungkus makanan untuk diedarkan secara percuma yang juga habis awal.

"Kita berharap program jualan murah seperti ini dapat meringankan beban dan membantu rakyat," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com