JPJ Nafi Lantik Ejen Jual Plat RV Seperti Ditular Di Media Sosial


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menafikan pihaknya melantik orang perseorangan atau syarikat bagi mempromosikan atau menjual nombor pendaftaran siri 'RV' seperti tular di media sosial.

Pengarahnya, Shahrul Azhar Md Dali berkata, tindakan pihak tertentu yang mempromosi tender nombor pendaftaran berkenaan adalah satu cubaan mengeliru dan memperdayakan pembida di seluruh negara.

"Sekiranya pembida tidak dapat hadir ke JPJ Perlis untuk menender nombor pendaftaran, mereka boleh menghantarnya secara pos dengan menyertakan dokumen yang lengkap.

"Segala urusan berkaitan tender nombor pendaftaran adalah di bawah bidang kuasa JPJ dan jabatan tidak melantik mana-mana individu untuk menjadi jurucakap atau mewakili jabatan dalam menguruskan nombor pendaftaran," katanya ketika dihubungi.

Shahrul Azhar berkata, segala maklumat berkaitan tender nombor pendaftaran boleh diperoleh dengan melayari portal JPJ dan pembida boleh berurusan secara terus dengan JPJ negeri.

"Pihak JPJ Perlis menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai atau berurusan dengan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

"Tindakan sedemikian boleh menyebabkan mereka kerugian kerana kita tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan tender nombor pendaftaran kenderaan," katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai nombor pendaftaran 'RV', orang ramai boleh menghubungi JPJ Perlis di talian 04-9760097 atau melalui emel di alamat mtarmizi@jpj.gov.my.

"JPJ Perlis membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan 'RV' kepada orang awam bermula pada 24 Januari (Rabu) lalu sehingga 12 tengah hari pada 6 Februari ini," katanya.

Terdahulu, tular di Facebook menerusi akaun 'PlateHunter Fizul MN' mempromosi tempahan nombor pendaftaran siri 'RV' dan mengenakan caj tertentu kepada pembida kononnya mewakili JPJ Perlis.

Nombor pendaftaran Perlis dianggap unik kerana masih menggunakan dua huruf dan diminati kerana membawa pelbagai maksud termasuklah pangkal nama individu.

Sebelum ini, kutipan tertinggi hasil daripada tender nombor pendaftaran Perlis adalah RM7 juta iaitu bagi plat RM.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com