JKKK, JKKKP, Orang Asli Kedah Bakal Dapat Diploma Pemimpin


ALOR SETAR – Pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli diberi peluang keemasan bagi menyambung pengajian ke peringkat diploma.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut diambil sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme mereka.

Kementeriannya menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA) menawarkan Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar (DEPLB) dan Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) untuk tujuan itu bermula tahun ini.

“DEPLB dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) di bawah Risda manakala Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) dijalankan dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” katanya.

Beliau berkata ketika berucap merasmikan Program Sijil Tadbir Urus Desa 2018 Peringkat Zon Utara di sini, kelmarin.

Menurutnya, empoh pengajian untuk DEPLB selama dua bulan dengan kos pengajian sebanyak RM4,800 seorang dengan mereka daripada JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli yang berkelayakan akan mendapat pembiayaan penuh mengikuti program itu.

Sementara itu, bagi Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) pula memerlukan setahun setengah hingga dua tahun tempoh pengajian dengan kos pengajian berjumlah RM28,000 seorang bagi pengajian sepenuh masa.

“Untuk program diploma ini kementerian akan membiayai 30 peratus… kedua-dua diploma yang ditawarkan ini adalah untuk mengupayakan pimpinan JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli supaya setaraf dengan pegawai dan pentadbir kerajaan,” katanya.

Untuk pengambilan bagi program DEPLB dijangka bermula pada pertengahan Februari hadapan manakala pengambilan bagi Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) pada September nanti.

“DEPLB ini sebagai program lanjutan daripada program persijilan Sijil Tadbir Urus Desa kepada JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli yang berminat dan memenuhi kelayakan sementara pemilihan peserta bagi Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) pula adalah melalui sesi temuduga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 4,127 orang kepimpinan JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli dari seluruh negara telah dilatih INFRA dengan kerjasama UniKL menerusi Program Sijil Tadbir Urus Desa berkenaan.

“Sehubungan itu, program ini akan diteruskan ke tahun ini dengan sasaran seramai 5,000 orang lagi akan dilatih di bawah program yang sama,” katanya.

Sementara itu, penerima sijil itu yang memperoleh keputusan cemerlang Hallam Shah Abdul Latiff yang merupakan pengerusi JKKKP Desa Putera di Pulau Pinang berkata sepanjang mengikuti kursus di bawah program persijilan itu beliau dapat meningkatkan keupayaan mengkoordinasi kawasan kampung untuk membuat penambahbaikan geopolitik.

“Selain itu, daripada segi urus tadbir kewangan pula saya boleh mengatur pengurusan kewangan dengan lebih efisien lagi. Lagi satu, saya sudah tahu cara hendak minta dana dengan lebih baik dan berkesan untuk penambahbaikan infrastruktur awam dan infrastruktur asas… ada cara tertentu untuk buat penilaian dan permohonan,” katanya dan menurutnya telah ditawarkan mengikuti program DEPLB Februari depan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com