JKDM Kedah Pun Derma Darah


BIARPUN sibuk dengan tugasan hakiki, tidak menghalang pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sungai Petani menganjurkan program derma darah bagi mengisi tabung darah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), semalam.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah turut serta bersama 42 peserta termasuk 34 pegawai dan anggotanya menderma darah.

Program julung kali diadakan dengan kerjasama Pusat Darah Negara dan HSAH itu berlangsung di Kompleks Kastam Sungai Petani bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua JKDM Sungai Petani, Mohd Sukri Jusoh berkata, bekalan darah sememangnya perlu ditambah setiap masa supaya dapat memenuhi permintaan pesakit yang tidak menentu terutama waktu kecemasan.


"Dengan adanya program sebegini dapat membantu pesakit yang memerlukan darah sekali gus dapat menyelamatkan nyawa orang ramai.

"Kita sedia maklum satu pek darah penderma dapat menyelamatkan tiga orang yang memerlukan.

"Apatah lagi ketika ini Tabung Darah Negara menghadapi kekurangan bekalan darah bagi persediaan menghadapi bencana atau kejadian yang tidak dijangka sama sekali," katanya.

Beliau berkata, program itu juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat serta khidmat masyarakat oleh JKDM selari slogan 'Berkhidmat Mensejahterakan Rakyat'.

"Saya berharap program derma darah ini akan dijadikan acara tahunan jabatan selepas ini," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com