Jangan Mudah Percaya Tular Penutupan Sekolah Akibat Banjir


MELAKA – Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak mudah percaya berita mengenai penutupan sekolah akibat banjir yang tersebar di media sosial sebaliknya berurusan secara terus dengan pihak pengurusan sekolah bagi mendapatkan kepastian, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata, selain daripada berhubung dengan pihak pengurusan sekolah, ibu bapa juga boleh membuat rujukan di Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Negeri bagi mendapat maklumat yang sahih.

“Saya faham ada masa kita tidak dapat maklumat tepat mengenai penangguhan sekolah, tetapi mengambil maklumat yang ditularkan. Namun kadang-kadang maklumat tersebut adalah tidak tepat,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan rasmi di bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rumbia, di sini hari ini.

Kamalanathan berkata, pihaknya dan Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara telah bersedia untuk menghadapi banjir dan persiapan telah dibuat di semua jabatan walaupun di negeri yang tidak mengalami banjir.

“Masalah banjir bukan perkara baharu dan kita sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan. Jikalau ada penangguhan sesi persekolahan ianya akan diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing tertakluk kepada keadaan semasa tempat tersebut,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com