Jangan Hina Raja-Raja Melayu Kita...


Budaya ketimuran kita lemah-lembut, bersopan-santun dan menghormati adat, tradisi dan institusi. Maka kita marah dan kadang-kala latah bila ada peri laku individu yang mengaibkan atau biadap terhadap raja dan negara.

Melayu pantang dengan keterlampauan dan melebihi batasan, lebih-lebih lagi apabila kita mempersendakan atau memperlekehkan raja Melayu.

Raja Melayu sudah diterima dan dihormati sebagai raja untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Institusi raja melambangkan kedaulatan negara dan maruah bangsa.

Raja bertanggungjawab bukan saja untuk menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan memelihara kedudukan agama Islam tetapi juga melindungi “kepentingan kaum-kaum lain” seperti termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan, seperti berikut:

Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan ini.

Maka jelaslah raja Melayu berperlembagaan bukanlah raja kepada orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak sahaja tetapi adalah naungan pada semua termasuk kaum-kaum lain juga yakni raja kita adalah “raja kepada semua”.

Institusi raja Melayu adalah lambang kedaulatan dan perpaduan negara di mana semua rakyat mengharapkan raja berperlembagaan terus melindungi negara ini daripada dipecah-belahkan oleh puak-puak ekstrim yang tidak memahami sejarah negara atau menghormati bahawasanya negara ini diwujudkan berlandaskan kompromi, tolak-ansur dan saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum etnik, bahasa dan budaya yang menjadi tunggak kekuatan Malaysia yang berkepelbagaian.

Bagi rakyat Melayu, Cina, India dan sebagainya, raja berperlembagaan adalah institusi yang diterima dan harus dihormati bukannya dihina, dicaci atau diperlekehkan oleh mana-mana pihak khususnya politikus.

Jadi apabila kebelakangan ini institusi raja diperlekeh, dipersenda dan dihina sehingga sampai ke tahap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan darjat kebesaran anugerah DYMM Tuanku Sultan Selangor dan seorang lagi anggota parlimen Pakatan Harapan mempersendakan DYMM Sultan Pahang yang gering, penulis merasa sudah tiba masanya tindakan diambil untuk menyekat atau membendung kebiadaban pemimpin-pemimpin khususnya pembangkang yang ingin stimulasi emosi “anti-establishment” dan memprovokasi rakyat supaya berani mencabar institusi dan pemerintah.

Provokasi pembangkang

Ini dilakukan semata-mata untuk memprovokasi dan menyemarakkan sentimen pembangkang supaya rakyat khususnya belia-belia berani mencabar pemerintah, susunan protokol dan institusi negara.

Matlamat pemimpin-pemimpin pembangkang ini yang berani menghina dan mengaibkan raja adalah kerana mereka terlepas dari sebarang tindakan dan hukuman apabila mereka menghina pemimpin-pemimpin negara dengan kelampauan sejak kebelakangan ini.

Kalau dahulunya mereka cuma mempersendakan pemimpin-pemimpin politik lapisan kedua, kini mereka tanpa segan-silu mempermainkan institusi perdana menteri sehingga membuat tohmahan dan cerita-cerita rekaan dengan bongkak sekali tanpa gentar atau malu-silu pada orang yang berkuasa.

Keberanian pemimpin Pakatan Harapan menyuburkan sentimen “anti-establishment” melalui cerita rekaan, penipuan dan tohmahan sudah sampai ke tahap yang melampau apabila anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menjadikan DYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan jenaka dalam satu ceramah politiknya untuk membela pemilihan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri puak mereka.


Mahfuz berani mencemar dan mengaibkan institusi raja dengan membandingkan raja kita dengan rakyat marhaen apabila beliau mempersendakan dan mempersoalkan tuanku sultan yang terus bertakhta dan memerintah negeri walaupun gering dengan Mahathir yang sudah berumur lanjut tetapi masih sihat.

Perlulah Yang Berhormat memahami susunan perlembagaan dan peranan raja berperlembagaan adalah berbeza dengan proses politik pemilihan dan peranan seorang perdana menteri.

Pokoknya ialah kalau dahulunya, anggota parlimen Pokok Sena itu beria-ia mahu Tun Dr Mahathir dijatuhkan dan berhenti menjawat kedudukannya sebagai perdana menteri, kini pula dia bermati-matian mahu mengembalikan Mahathir atas sebab dan muslihat politiknya semasa-mata.

Itu hak dan pilihan politik beliau tetapi janganlah sampai mengeluarkan kata-kata yang mencemar KDYMM Tuanku.

Pilihan beliau untuk mengangkat dan menjunjung Mahathir adalah hak dan mainan politiknya tetapi janganlah sampai membabitkan kedaulatan dan institusi raja.

Ini bukan lagi kurang sopan dan tidak tau tata susila. Ini sudah berani kurang ajar dan biadab namanya. Ini bukan lagi menghina institusi raja berperlembagaan. Ini sudah buta adat. Ini sudah khianat!

Kalau zaman dahulu, pasti akan kena tulah atau ditimpa daulat!

Penjara 15 tahun

Di negeri Thailand bawah undang -undang “lese-majeste” sesiapa yang menghina, mengaibkan atau mengancam raja, permaisuri dan tengku mahkota boleh dipenjarakan selama tiga hingga 15 tahun.

Memandangkan kebiadaban terhadap raja semakin berleluasa kebelakangan ini, perlukah kita memperkenalkan undang-undang “lese -majeste” di tanah air kita?

Daulat Tuanku!

Datuk Seri Ti Lian Ker,
Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Ketua Biro Keharmonian MCA.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com