Jangan Goyang Dengan Korea Selatan - Khairy


KUALA LUMPUR -Skuad negara tidak perlu gentar apabila turun berdepan gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan pada aksi suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, China, hari ini.

Nada semangat itu ditiupkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang percaya anak buah Datuk Ong Kim Swee kini memiliki keazaman tinggi untuk membuat kejutan sekali gus melangkah lebih jauh dalam saingan itu.

Katanya, kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan C kelmarin, jelas menunjukkan pemain negara juga berada dalam kelas tersendiri sambil dibantu dengan taktikal berkesan yang diterapkan pengendali pasukan.

"Saya harap pemain tak gentar dengan Korea Selatan sebab kita sudah buktikan dapat menundukkan antara pasukan terbaik di Asia iaitu Arab Saudi. Ini menunjukkan sekiranya kita ada keinginan untuk menang, apa saja kemungkinan boleh berlaku.

"Saya harap ini akan memberi keyakinan tambahan bahawa mereka tak perlu takut untuk menghadapi siapa sahaja di Kejohanan AFC B-23 itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Digital Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke arah TN50 dengan sokongan Microsoft Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini kelmarin.

Skuad negara yang tampil selaku pasukan bukan pilihan, berjaya mencalar reputasi Arab Saudi selaku bekas naib juara pada edisi 2013 lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara Kumpulan C di belakang Iraq.

Menerusi pungutan tiga mata itu, skuad kendalian Kim Swee berjaya mengumpul empat mata selepas seri 0-0 dengan Jordan dan tewas 1-4 kepada Iraq.

Korea Selatan yang bersaing di Kumpulan D pula, menamatkan kedudukan di tangga pertama menerusi kutipan tujuh mata diikuti Vietnam di tangga kedua dengan empat mata.

"Saya melihat sistem permainan yang digunakan Kim Swee sangat berkesan, sebab kita tak boleh menang kalau mengikut corak permainan pasukan lawan kerana Arab Saudi ini pasukan yang sangat bagus. Tetapi kita dapat melaksanakan corak permainan kita dan pemain sangat berdisiplin.

"Jadi, pesanan saya kepada pemain, kekalkan disiplin hingga tiupan wisel terakhir dan percaya apa saja kemungkinan itu dapat dicapai kerana sekali kita menang dengan pasukan lebih baik, tidak mustahil ia boleh berulang lagi," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com