"Jadi Senjata Sulit Pun OK" - Farhan Roslan


ALOR SETAR - Walaupun belum mampu menempatkan diri dalam kesebelasan utama, pemain muda Kedah, Farhan Roslan enggan mengeluh sebaliknya tetap berasa selesa jika terus diberi peranan sebagai pemain gantian bagi musim ini.

Menurut Farhan atau lebih mesra di kalangan rakan sebagai Paan, bermain selama 90 minit atau hanya 10 minit tidak menjadi persoalan kerana apa yang lebih penting adalah sumbangannya terhadap pasukan.

"Kalau boleh, memang saya mahu bermain sepenuh masa tapi tidak akan merungut walaupun akan terus menjadi pemain gantian sahaja. Setiap jurulatih mempunyai perancangan serta taktikal sendiri dalam menghadapi lawan. Mungkin pada pandangan beliau, saya lebih berkesan sebagai pemain gantian.

"Kadang-kadang pemain simpanan seperti saya dijadikan 'senjata sulit' oleh jurulatih untuk memusnahkan lawan pada minit-minit terakhir perlawanan.

"Jadi, bila diberi peluang bermain walaupun sekadar 10 minit terakhir, saya akan pastikan mampu meninggalkan impak kepada pasukan serta mengubah situasi perlawanan.

"Saya rasa ia lebih baik daripada saya bermain selama 90 minit tapi gagal melakukan apa-apa atau sekadar menjadi penumpang sepanjang perlawanan," katanya memetik BH Online.

Farhan, 22, yang diberi jolokan 'Messi Kedah' turut berharap masalah kecederaan dialami musim lalu tidak berulang apatah lagi kehadiran beberapa pemain muda seperti Akhyar Rashid, Zafuan Azeman dan Hidhir Idris memberi saingan lebih sengit kepada dirinya musim ini.

"Musim lalu saya terlepas banyak perlawanan kerana mengalami kecederaan sebanyak tiga kali. Paling teruk kecederaan lutut yang dialami menjelang final Piala FA sehingga terpaksa berehat selama tiga bulan. Ia sekali gus menutup peluang saya mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA dan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia B-23. Saya berdoa agar tahun ini lebih baik daripada tahun lalu," ujar Farhan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com