Jabatan Pertanian Kulim Sasar 230 Hektar Durian


KULIM – Jabatan Pertanian Daerah Kulim menyasarkan penanaman durian berkualiti tinggi di daerah ini melibatkan kawasan seluas 230.3 hektar sehingga 2020 nanti.

Pegawai Pertaniannya, Noor Afifah Ramli berkata, projek jangka panjang yang bermula 2016 dengan kawasan seluas 14.2 ha dan 87.9 ha lagi pada tahun lepas merupakan sebahagian pelan strategik pengembangan pertanian dalam menjadikan Kulim sebagai pengeluar utama tanaman tersebut.

“Bagi tahun ini, kita sasar 40.7 hektar manakala 51.5 hektar (2019) dan 36 hektar (2020) di mana ia akan membabitkan 96 orang petani yang berpotensi,” katanya dalam taklimat Pelan Strategik Pengembangan Pertanian Daerah Kulim di sini kelmarin.

Katanya, bagi membangunkan tanaman durian yang berkualiti, pihaknya kini cuba mengaplikasi teknik cantuman dewasa dari klon Musang King dan Duri Hitam secara meluas kepada pekebun kecil.

“Kita membuat pemerhatian ke atas kebun durian yang terdapat dalam 15 mukim di daerah ini dan mendapati 70 peratus pokok durian sedia ada adalah daripada klon lama dan durian kampung manakala 60 peratus pula adalah pokok tua.

“Jadi, bagi proses pemulihan dan membangunkan tanaman, teknik cantuman dewasa adalah pilihan terbaik kerana tempoh masa pokok membesar dan mengeluarkan hasil pertama adalah sekitar dua hingga tiga tahun,” katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan cantuman dewasa ke atas 70 pokok lama yang berpotensi pada tahun ini.

Beliau berkata, selain menambah jumlah pengeluaran, cantuman dewasa itu juga akan mengurangkan pembelian anak pokok.

“Secara tidak langsung, kita akan mempunyai pokok induk dan impaknya, tanaman ini boleh dilakukan secara berterusan pada masa akan datang tanpa perlu bergantung kepada benih atau anak pokok dari luar, ” katanya.

“Bukan itu saja, kita juga dapat meningkatkan keuntungan kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun yang disasarkan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com