Iran Larang Subjek Inggeris Di Sekolah Rendah


DUBAI - Iran telah melarang pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendahnya, kata seorang pegawai kanan pendidikan, selepas pemimpin Islam memberi amaran mengatakan pembelajaran awal bahasa itu membuka jalan kepada “penaklukan budaya” Barat.

“Mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah kerajaan dan bukan kerajaan dalam kurikulum rasmi adalah salah di sisi undang-undang dan peraturan,” kata Mehdi Navid-Adham, ketua Majlis Pendidikan Tinggi negara tersebut pada siaran televisyen lewat semalam.

“Ini kerana dalam pendidikan rendah, persediaan asas untuk budaya masyarakat Iran telah dikemukakan,” kata Navid-Adham sambil memberitahu, kelas bahasa Inggeris yang tidak termasuk dalam kurikulum juga mungkin dihalang.

Pengajaran bahasa Inggeris biasanya bermula di sekolah menengah rendah di Iran, lebih kurang pada umur 12 hingga 14, tetapi terdapat juga sekolah rendah yang mempunyai kelas bahasa Inggeris untuk pelajar lebih muda.

Sesetengah kanak-kanak menghadiri institut bahasa swasta selepas sesi sekolah. Dan ramai juga daripada keluarga berada yang menghadiri sekolah bukan kerajaan menerima tuisyen bahasa Inggeris sejak tadika sehingga sekolah tinggi.

Pemimpin Islam di Iran kerap memberi amaran tentang bahaya “penaklukan budaya”, dan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei sendiri menyuarakan kemarahannya pada 2016 terhadap “pengajaran bahasa Inggeris yang tersebar ke sekolah tadika”.

“Itu tidak bermaksud kita membantah pembelajaran bahasa asing, tetapi ini adalah satu promosi budaya asing di negara dalam kalangan kanak-kanak, anak muda dan belia,” kata Khamenei yang mempunyai kata putus dalam setiap hal ehwal negara.

“Pemikir Barat telah banyak kali berkata, cara terbaik dan menjimatkan adalah untuk memupuk pemikiran dan budaya kepada generasi muda di negara, bukannya peluasan kuasa penjajah,” kata Khamenei, menurut teks ucapannya yang dimuat naik pada laman web rasminya, (Leader.ir).

Walaupun pengumuman larangan itu tidak dikaitkan kepada bantahan terhadap pengisytiharan pentadbiran bawah golongan paderi, Pengawal Revolusi Iran berkata pergolakan itu juga ditimbulkan oleh musuh asing.

Pegawai di Iran berkata 22 orang terkorban dan lebih 1,000 ditahan ketika pergolakan yang tersebar sehingga ke lebih 80 bandar dan pekan pedalaman apabila ribuan rakyat Iran golongan buruh menyuarakan kemarahan mereka pada rasuah, pengangguran dan jurang semakin besar antara golongan kaya dan miskin.

Video pengumuman larangan itu tersebar secara meluas di media sosial pada Ahad, dengan rakyat Iran menggelarnya sebagai “Penapisan bahasa Inggeris”, sambil menyamakan perkara itu kepada larangan penggunaan aplikasi popular Telegram oleh kerajaan semasa kekecohan itu.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com