Iqram Dinzly Dapat Hadiah Arnab Daripada Mufti Wilayah


SESI pertemuan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan aktor Iqram Dinzly yang diadakan semalam (Sabtu) turut disertai dengan ‘buah tangan’ yang istimewa.

Zulkifli telah menghadiahkan Iqram dengan sepasang arnab yang comel serta beberapa buku tulisannya kepada Iqram dan pelakon Johan As’ari yang turut hadir pada pertemuan berkenaan.

“Setiap tanda ingatan yang kami berikan, sebenarnya ada hasrat tertentu yang ingin disampaikan untuk Iqram dan Johan.

“Kami hadiahkan beberapa buku tulisan kami kepada Iqram dan Johan untuk dibaca, dihayati dan diamalkan kandunganya.

“Begitu juga jubah dan kopiah supaya terus istiqamah dan bersemangat dalam ibadah. Tidak lupa dua ekor arnab yang comel kami hadiahkan kepada Iqram, supaya beliau dapat meneruskan hobinya dengan lebih gembira dan tenang,” tulisnya di Instagram.


Zulkifli berkata, pertemuan ‘hati ke hati’ itu juga dapat menjelaskan perilaku Iqram yang dikatakan semakin ‘pelik’ di media sosial akhir-akhir ini.

Beliau turut berterima kasih kepada kedua-dua aktor itu yang sudi meluangkan masa dan berbincang tentang perkara yang berlaku.

“Kami amat memahami akan situasi yang dihadapi dan kami namakan pertemuan pada kali ini lebih kepada kunjungan serta taaruf antara kami dari pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kedua-duanya.

“Sesungguhnya pertemuan yang dibicarakan dari hati ke hati boleh mengungkai sejumlah besar lingkaran kemelut kehidupan yang dihadapi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut mendoakan agar Iqram sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Kami yakin disana terdapat cahaya di hujung terowong kehidupan tatkala kita berpegang kepada tali Allah dengan penuh keimanan disamping makrifah ilmu dengan sedalamnya. Begitu juga kita sulami kehidupan dengan takwa dan taat.

“Kami berdoa agar kita semua sentiasa diberi taufiq dan dihidayahkan oleh Allah SWT,” katanya.

Pertemuan ini adalah susulan daripada surat terbuka yang ditujukan kepada Iqram pada 27 Disember lalu ,enjemput pelakon Dunia Baru itu hadir ke pejabatnya bagi membincangkan masalah yang sedang dihadapi selepas beberapa video aksi pelik menjadi tular di laman sosial. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com