Imam Meninggal Ketika Solat


ALOR GAJAH - Seorang imam Masjid Imam Muslim, Belimbing Dalam di sini, meninggal dunia ketika mengimamkan solat Zuhur di masjid itu, semalam.

Mohamad Hashim Kechik, 78, yang juga imam satu masjid itu, menghembuskan nafas terakhir di hadapan 10 jemaah, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Seorang daripada jemaah masjid itu, Syamsul Ab Rahman, berkata sebelum itu, Mohamad Hashim yang berada dalam keadaan duduk, mahu bangun untuk rakaat keempat, namun secara tiba-tiba tidak boleh bangun.

"Dia (imam) kemudiannya beristighfar tiga kali, sebelum memberi salam dan beberapa jemaah bergegas mendapatkannya," katanya.

Beliau berkata, imam yang mengalami sesak nafas kemudian dibaringkan di atas riba seorang jemaah.

"Semuanya berlaku dengan pantas dan selepas dibaringkan, nafasnya terhenti," katanya.

Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Durian Tunggal yang tiba jam 1.45 tengah hari mengesahkan Mohamad Hashim sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com