Ibu Tunggal Di Alor Setar Perlukan Bantuan Jaga 4 Anak Termasuk OKU


ALOR SETAR - Seorang ibu tunggal di Alor Setar semakin buntu dan runsing apabila memikirkan tentang cara untuk menambah pendapatan bagi menyara empat anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU).

Nur Fatin Natrah Yaakob, 29, yang tinggal di  Taman Perumahan Wira, Mergong telah berpisah dengan bekas suaminya dua tahun lalu.

Kini dia terpaksa memikul tanggungjawab bagi membesarkan anaknya berusia tiga hingga 11 tahun.

Lebih menyedihkan, anak sulung Mohd Farid Irwan Abdullah, 11 hasil pernikahan bersama bekas suaminya disahkan cacat dan terpaksa dihantar ke Program Pemulihan Dalam Komuniti.

"Manakala dua adiknya, Mohd Firdaus Haikal, 10 dan Nur Rabiatul Adawiyah, 8, bersekolah di SK Seri Perdana. Anak bongsu saya Malika Farhana, 3, terpaksa saya jaga.

"Sebab itu saya tak dapat bekerja bagi menambah pendapatan.

"Sekarang kami terpaksa bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang bekalkan barangan dapur,” katanya.

Melalui sumbangan yang diberikan oleh pihak zakat, Nur Fatin terpaksa menggunakan wang itu sebagai bayaran rumah sewa rumah yakni berjumlah RM300 sebulan selain sumbangan lain sebagai membiayai persekolahan anak-anaknya itu.

"Saya juga ada buat kerja sikit-sikit dekat kedai jiran untuk tampung perbelanjaan harian.

"Pernah sewa rumah tak dapat dijelaskan beberapa bulan bagi membiayai perbelanjaan harian terutamanya anak sulung yang memerlukan susu khas dan lampin pakai buang. Paling menyedihkan terpaksa berhutang bagi membeli barang makanan dari jiran berdekatan.

“Oleh kerana ketiadaan wang saya juga terpaksa menukar susu khas kepada susu pekat hari ini supaya dia dapat minum walaupun doktor arahkan anak saya itu hanya boleh minum susu yang ditetapkan,” katanya.   

Namun begitu, dia amat bersyukur kerana mempunyai kejiranan serta rakan yang baik sehingga ada yang sanggup memberi wang untuk perbelanjaan mereka sekeluarga.

Ujarnya,dia terpaksa memberi sepenuh perhatian kepada anaknya hingga dia terpaksa melupakan hasratnya untuk mencari kerja bagi membiayai kehidupan mereka sekeluarga.

“Memang saya sangat buntu bila fikirkan masalah ini, apatah lagi dengan persekolahan mereka yang memerlukan perbelanjaan.

"Pernah terniat di hati saya untuk hentikan pelajaran mereka, tetapi oleh kerana mereka cemerlang di sekolah sebab itu saya teruskan pengajian mereka,” katanya memetik Sinar Harian.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah disalurkan ke akaun Bank CIMB Nur Fatin Natrah (7603322528). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com