IBR Tidak Melindungi Penjawat Awam Terlibat Rasuah


KUALA TERENGGANU  - Ikrar bebas rasuah (IBR) bukan merupakan pelindung untuk penjawat awam supaya mereka boleh terlepas daripada dikenakan tindakan jika terbabit dengan gejala rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dengan individu yang terbabit dengan kes rasuah, termasuk mereka yang telah melafaz serta menandatangani IBR. 

Pengarah SPRM Terengganu Mohd Zaki Hassan menegaskan perkara itu pada Isnin, sambil menambah, sejak Ogos lalu, 59 agensi kerajaan termasuk universiti tempatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah melaksanakan IBR. 

"Kita belum terima lagi sebarang aduan yang melibatkan isu rasuah di jabatan yang telah menandatangani IBR," katanya.

"Ia bukannya mengatakan 100 peratus memberi perlindungan. IBR ini cuma satu inisiatif kita untuk menggalakkan agensi kerajaan membenci rasuah," tambahnya. 

Menurut Mohd Zaki, sebanyak 70 lagi jabatan dan agensi kerajaan negeri serta GLC di seluruh Terengganu  akan melafaz dan menandatangani IBR sepanjang tahun ini.

Mohd Zaki berkata, sejak awal Januari lalu hingga kini, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka.

Tiga tangkapan dan tiga pertuduhan membabitkan kes itu sudah dibawa ke mahkamah, manakala satu masih dalam siasatan.

Katanya lagi, seramai 22,000 orang kakitangan telah menyertai program Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) di negeri ini yang yang mampu bertindak sebagai mata dan telinga kepada SPRM.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com