Hospital Medan Malaysia Tarik Perhatian Negara Lain


KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan membina Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh telah menarik minat beberapa negara lain untuk membantu pelarian Rohingya yang berada di negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata komitmen Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bantu pelarian Rohingya juga dapat perhatian negara lain untuk terlibat dengan kerjasama yang ada, sekali gus mewujudkan perkampungan global di kem pelarian itu.

“Misi bantuan yang kita laksanakan ini mendapat sambutan daripada negara lain kerana hala tuju kita jelas dan ikhlas.

“Jika sebelum ini kita wujudkan hubungan trilateral bagi menangani ancaman keselamatan terutama yang melibatkan Daesh, tetapi dengan bersama-sama membantu masyarakat Rohingya, hubungan kerjasama trilateral dengan negara lain mampu diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja ke tapak projek pembangunan Kompleks Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Tembak di sini, semalam.

Kompleks Wisma Bintara ATM itu merangkumi sebuah blok kediaman 10 tingkat yang mempunyai 200 bilik serta 115 tempat letak kereta berbumbung bernilai RM30 juta, yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Dalam lawatan itu, Hishammuddin berpuas hati dengan perkembangan projek pembangunan kompleks berkenaan.

“Saya dimaklumkan sehingga 26 Januari, projek pembinaan ini telah mencapai lebih 28 peratus iaitu lapan hari lebih awal dari jadual asal… sekiranya semua pihak mampu mengekalkan momentum dan prestasi kerja, projek ini mampu disiapkan sepenuhnya pada 3 Oktober tahun hadapan.

“Ini merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebajikan anggota Bintara ATM (anggota yang berpangkat sarjan ke atas) sentiasa terjaga selaras dengan pengorbanan yang dicurahkan mereka dalam menjaga keselamatan tanah air tercinta ini,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com