Hina Sultan Pahang: Mahfuz Pertahan Kenyataan, Hentam Pemuda UMNO

Dato' Mahfuz Omar ketika menyertai promosi Bersih 5 bersama Dato' Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpon Pakatan Harapan sebelum ini di Kedah
ALOR SETAR - Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan kenyataannya yang membuat perbandingan usia membabitkan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Mahfuz berkata, ia membuktikan bahawa usia bukanlah faktor penghalang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin.

"Saya membangkitkan isu bahawa usia bukan penghalang walaupun di umur tua untuk seorang tua menjadi pemimpin,

"Saya buat perbandingan apa masalahnya bagi seorang tua untuk jadi pemimpin seperti Dr Mahathir dan juga Sultan Pahang," katanya memetika laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com.

Untuk rekod, sistem pemerintahan beraja di negara ini adalah mengikut sistem warisan takhta.

Manakala sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan pula adalah berdasarkan lantikan daripada parti politik yang membentuk majoriti kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, Mahfuz turut menempelak Pemuda Umno Pahang kerana membangkitkan dakwaan beliau menghina Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang sedang gering dan mendakwa mereka tidak layak menjadi pemimpin kerana sudah "nyanyuk".

"Nampaknya yang tak layak jadi pemimpin walaupun dia muda adalah Pemuda UMNO.

"Pemuda UMNO tak layak jadi pemimpin sebab dia sudah nyanyuk, tak macam orang tua.

"Pemuda UMNO tak layak untuk jadi pemimpin walaupun dia muda kerana sudah ada unsur nyanyuk, yang tak boleh memahami apa yang saya sebut," kata Mahfuz, memetik sumber yang sama.

Pemuda UMNO Pahang sebelum ini mendakwa Mahfuz menghina sultan dengan menjadikan baginda jenaka dalam ceramah politik dan menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, difahamkan bahawa empat laporan polis telah dibuat terhadap Mahfuz berhubung tindakannya yang dianggap menghina dan menjadikan Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan ceramah politiknya.

Tindakan Mahfuz mempolitikkan usia Sultan Pahang itu telah mencetus kemarahan ramai terutama rakyat Pahang yang menggangap beliau sebagai biadab kerana mengaitkan institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.

Mahathir sebelum ini dikritik hebat oleh penyokong Pakatan Harapan sendiri, khususnya PKR yang menimbulkan faktor usia terlalu lanjut dan "sejarah silam" bekas Perdana Menteri itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com