Hasrat Mahathir Jadi PM Berkecai Jika PAS Menang Lebih Banyak Kerusi Parlimen?


PAS mahu membentuk kerajaan ataupun menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah.

Adakah PAS akan menyokong BN selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14)   masih menjadi tanda tanya?

Teka-teki PAS itu bagaimanapun  menghantui Pakatan Harapan terutama calon Perdana Menterinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam hal ini PAS akan bertanding lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada PRU14 bagi membolehkannya membentuk kerajaan jika memenangi pilihan raya umum.

Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS perlu bertanding sekurang-kurangnya lebih daripada jumlah majoriti mudah iaitu daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

"Kemungkinan (bertanding) 130 lebih (kerusi Parlimen), sekurang-kurangnya majoriti mudah," katanya dalam sidang media selepas melancarkan jentera PAS Selangor untuk PRU14 pada Himpunan Fastaqim 2.4 di Selangor semalam.

Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan menang 21 daripadanya. Enam daripada 21`kerusi kini disandang anggota Parlimen Parti Amanah Negara, parti serpihan PAS, manakala kerusi Parlimen Pokok Sena juga terlepas apabila penyandangnya Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu awal tahun ini.

Himpunan, yang bertujuan menggembleng kekuatan serta menggerakkan kebangkitan anggota serta penyokong PAS, turut dihadiri Naib Presiden parti Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Hadi berkata PAS juga bertekad mahu merampas Selangor pada PRU14 bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

"Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam," katanya.

PAS Selangor sebelum ini dilapor menyasarkan sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri itu, termasuk di kawasan diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kajang).

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak mencampuradukkan isu berkaitan politik dalam urusan pentadbiran negeri.

Ini susulan dakwaan peruntukan tahunan yang disediakan untuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri itu disekat. Sallehen sebelum ini berkata bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri Selangor bahawa peruntukan kepada wakil rakyat PAS untuk tahun ini akan dibekukan.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu dan sebaliknya berkata kelewatan itu mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

 Ditanya tentang calon Menteri Besar Selangor daripada PAS sekiranya parti itu menguasai negeri itu pada PRU14, Abdul Hadi berkata pihaknya tidak akan menamakannya sehinggalah proses pilihan raya selesai.

Kedudukan Azmin sebagai menteri besar tergugat, jika PAS mengekalkan 15 kerusi DUN atau menang lebih besar di negeri itu.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com