'Hari Pertama Ke Sekolah Tanpa Mama Dan Papa'


SERI MANJUNG - "Sesi persekolahan tahun ini sangat menyedihkan kerana mama dan papa sudah tiada, namun sebagai anak sulung saya kena kuat serta tabah demi adik-adik.

"Saya juga akan belajar bersungguh-sungguh dan akan ingat pesanan mama dan papa supaya menjadi insan berguna," kata Muhammad Daris Wafiy Sairulazuwan, 11, yang memulakan sesi persekolahan Tahun Lima di Sekolah Rendah Agama Rakyat At-Ta'alim di sini, semalam.

Muhammad Daris Wafiy ialah anak sulung kepada Sairulazuwan Nadzim, 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, berhampiran Kampung Kayan, Sitiawan, awal bulan lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, pasangan itu dan bayi lelaki mereka, Muhammad Daris Iffat, tiga bulan maut selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki terbabas sebelum terhumban dalam parit sedalam 2.5 meter.

Selepas nahas itu, Muhammad Daris Wafiy dan dua lagi adiknya, Muhammad Daris Rayyan, 10, dan Muhammad Daris Amsyar, 6, dihantar ke rumah datuk mereka.

Wafiy berkata, dia dan adik keduanya Muhammad Daris Rayyan yang memasuki Tahun Empat, bagaimanapun teruja belajar di sekolah baharu dan berjumpa rakan baharu, manakala Muhammd Daris Amsyar akan mula memasuki tadika di Seri Manjung Khamis ini.

"Saya bangun jam 6 pagi tadi untuk bersiap ke sekolah dan tidak sabar mendaftar ke sekolah baru, namun sebenarnya saya juga rindu kawan dan sekolah lama di Sungai Buloh.

"Yang paling dirindui ialah mama, papa serta Iffat dan ini kali pertama kami bersekolah tanpa mereka.

"Biarpun sedih saya kena kuat sebab saya masih ada Rayyan dan Kintan (Muhammad Daris Amsyar) serta ahli keluarga lain yang sentiasa ada bersama kami," katanya.

Sementara itu, adiknya Muhammad Daris Rayyan, turut menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Tahun ni rasa lain tapi saya juga kena tabah dan akan selalu mendoakan mama, papa dan Iffat di sana, serta tidak akan lupakan pesan mereka supaya rajin belajar," katanya.

Sementara itu, ibu saudara mereka, Nor Alvina Abdullah, 32, berkata, mereka sekeluarga akan berusaha memberikan yang terbaik untuk tiga beradik itu dan persekolahan mereka akan diuruskannya.

"Emosi mereka sudah semakin baik, cuma kadang-kadang mereka akan terkenang sesuatu perkara yang berkaitan ibu bapa mereka.

"Kami sekeluarga akan memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka dan terima kasih juga kepada orang ramai, selain kenalan keluarga serta arwah yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada tiga beradik ini," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com