Hanya Pemberi Maklumat Terawal Sahaja Dapat Ganjaran - Aliff Syukri


PETALING JAYA - Tiada isu mungkir janji dalam tawaran yang dibuat pengasas produk D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung kes kecurian wang tunai dan barangan kemas melibatkan bekas pekerjanya.

Jutawan kosmetik berusia 31 tahun itu menegaskan beliau mempunyai bukti berbentuk rakaman video dan resit pemberian wang tunai kepada pihak yang telah menghubunginya sebelum ini dan menyalurkan maklumat berkaitan suspek kes itu.

"Saya ada empat orang gaji, dua sudah diberkas sebelum ini dan dua yang lain pula berjaya ditangkap polis baru-baru ini.

"Duit ganjaran itu saya nak bagi pada waktu pertama kali bekas pekerja saya ditahan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Untuk rekod, dua bekas pekerja Aliff Syukri ditahan oleh pihak polis pada 22 Januari lalu berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada orang awam.

Dakwa penyanyi lagu Abang Nak Tegur ini lagi, beliau tidak menyangka bahawa dua pekerjanya itu masih berada di Malaysia dan dimaklumkan bahawa pasangan suami isteri itu sudah pun menukar nama dan wajah mereka agar sukar dikenali.

"Sudah lama orang gaji saya itu lari dan dalam masa sama, duit dan barangan kemas saya yang hilang itu tidak dapat balik.

"Takkan ada empat orang gaji, saya kena bagi RM20,000 (RM5,000 seorang) pula. Saya bagi kepada individu yang terawal itu sahaja, tetapi pemberi maklumat yang terbaru ini mengugut untuk 'viral'," ujarnya.

Bagaimanapun, usahawan tersebut mendakwa sudah menawarkan wang saguhati kepada lelaki tersebut, namun ditolak kerana dia bertegas mahu dibayar jumlah sama dengan nilai tawaran awal yang dibuat Aliff Syukri.

Terdahulu, mStar Online pada Sabtu melaporkan, hasrat seorang lelaki untuk membantu seorang usahawan kosmetik menjejaki bekas pekerjanya yang dipercayai mencuri wang tunai dan barang kemas bagaikan tidak dihargai apabila ahli perniagaan itu didakwa mungkir janji.

Lelaki dari Klang, Selangor yang ingin dikenali sebagai Abu itu meluahkan rasa kecewa dan marah kepada jutawan berstatus Datuk kerana bertukar fikiran sebaik sahaja kedua-dua suspek berjaya ditahan pihak polis hasil maklumatnya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com