Hajat Safiq Sebelum 'Gantung But'


KUALA LUMPUR - Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim berhasrat mahu beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) sebelum menggantung butnya dua ke tiga tahun lagi.

Pemain kebangsaan itu yang telah memenangi kesemua piala utama di dalam Liga Malaysia termasuk Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Liga Super, mendedahkan jika beliau dapat beraksi  dalam  pertandingan  tahap tertinggi kelab bola sepak Asia itu sebelum bersara, ia bagaikan  mimpi jadi kenyataaan buat dirinya.  

Untuk rekod, JDT tidak pernah melepasi pusingan awal ACL, setelah tewas menerusi sepakan penalti  dengan dua kelab dari Thailand -- Bangkok Glass dan Muangthong United menerusi   penentuan   tendangan  penalti, masing-masing pada 2015 dan 2016.  

"Saya  mahu ke Liga Juara-Juara Asia dahulu.  Ini adalah impian dalam kerjaya peribadi saya, jadi  saya  mahu beraksi di (peringkat kumpulan) Liga Juara-juara Asia sebelum saya bersara dalam dua atau tiga tahun lagi," kata Safiq sebagaimana dipetik dalam satu wawancara  yang dimuat naik dalam laman sesawang  Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), www.the-afc.com.

Dalam hal ini, Safiq yakin skuad Harimau Selatan itu bersedia  berhadapan Muangthong, naib juara  Liga Perdana Thailand dalam pusingan kedua ACL di Stadium SCG, Nonthaburi, Thailand, Selasa ini. 

Bagaimanapun, beliau akur pasukan dari Thailand itu bukannya lemah biarpun dengan  penghijrahan  pemainnya ke luar negara termasuk penjaga gol  Kawin Thamsatchanan dan pengatur serangannya  Chanathip Songkrasin.

"Bagi saya semua pemain dalam Muanthong adalah bagus. Apa yang paling penting bagi kami, ialah   Johor  Darul Ta'zim. Jika kami dalam keadaan yang baik , kesemuanya baik dari segi taktikal dan kami semua mematuhi arahan, saya rasa kami akan mendapat keputusan positif. 

Kami tahu Muanthong adalah pasukan yang bagus.  Dua tahun lepas, mereka memiliki ramai pemain kebangsaan Thailand, pemain muda dan pemain luar yang bagus, jadi kami perlu lakukan persiapan  rapi sebelum berhadapan mereka, " kata Safiq. 

Dalam hal lain, beliau yakin bahawa skuad bola sepak negara akan beraksi dengan lebih  baik tahun ini dengan perancangan yang  dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai banyak idea bernas untuk membawa bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.  - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com