Guru Liwat 41 Murid Konon Ajar Ilmu Kebal


GURU yang digelar Babeh (ayah) oleh muridnya ditahan di Jakarta kerana disyaki meliwat 41 kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 15 tahun kononnya untuk mengajar mereka ilmu kebal.

Lelaki berusia 49 tahun yang hanya dikenali sebagai WS itu kononnya mampu mengubat termasuk mengajar ilmu kebal serta pengasih, ditahan pada 20 Disember lalu di kediamannya di Gunung Kaler, Tangerang.

Jurucakap polis, Sabilul Alif berkata, suspek meliwat 41 kanak-kanak di pondoknya sejak April 2017.

Suspek berkata, dia mula melakukan perbuatan terkutuk berkenaan tiga bulan selepas isterinya bekerja di Malaysia.

Dia mengakui mangsa sering datang ke pondoknya yang terletak berhampiran sebuah sekolah pondok.

Mereka percayai dia mampu mengubati penyakit secara tradisional selain mempunyai ilmu kebal.

“Susulan itu, mereka mahu belajar ilmu itu daripadanya dan diminta bayaran, namun apabila semuanya mengaku tidak berduit, suspek meminta ‘bayaran’ lain.

“Dia mendakwa semua mangsa bersetuju, namun mereka yang menolaknya diugut akan mendapat sial selama 60 hari sehingga akhirnya akur,” katanya.

Susulan itu, katanya, suspek mengarahkan mangsa menelan logam bulat kecil didakwa sebahagian daripada syarat pembelajaran mereka.

Menurutnya, pondok suspek dibakar penduduk kampung yang tidak berpuas hati apabila kanak-kanak terlalu kerap menemuinya, namun mangsanya tetap datang ke pondok baru didirikan pada Oktober tahun lalu tidak jauh dari situ seterusnya membolehkannya meneruskan aktiviti berkenaan.

“Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar pada 2 Disember lalu apabila seorang pelajar yang diliwat mengadu kejadian itu kepada ibu bapanya yang membuat laporan polis,” katanya.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun bagi setiap tuduhan.- Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com