Golongan Ilmuan Perlu Bijak Santuni Masyarakat Dalam Berdakwah


ALOR SETAR - Golongan ilmuan disarankan bijak menyantuni masyarakat dalam menyampaikan dakwah.

Menurut Kordinator Halaqah Ilmi Yayasan Dakwah Islam (Yadim) Zon Utara, Ahmad Fuad Ashari berkata, seharusnya dalam menyampaikan dakwah, golongan ilmuan perlu bijak menggunakan konsep mendidik.

"Jauhkan diri daripada menggunakan konsep menghukum kerana ia tidak akan menjayakan matlamat dakwah yang sebenar," katanya memetik Sinar Online.

Beliau mebuat kenyataan berikut ketika berucap di program Muzakarah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlangsung di Dewan Pejabat Agama Daerah Yan.

Jelas Ahmad, golongan ilmuan perlu prihatin akan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat.

"Kebanyakan mereka kini suka menularkan apa jua isu dan masalah di dalam laman sosial, oleh itu golongan ilmuan perlu peka akan arus kemodenan masa kini," ujarnya.

Tambah Ahmad, dakwah secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Sunnah Nabi amat diperlukan pada masa kini.

Muzakarah berkenaan dihadiri 100 imam daerah Yan dan Penggiat Agama yang bertujuan untuk menerapkan kefahaman berkaitan ahli sunnah wal jamaah dan juga kepentingan dakwah kepada ummah.

Turut hadir sama, Eksekutif Kanan Yadim Yusuff Ahmad. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com