"Gila-Gila Nak Jadi Perdana Menteri..." - Mahathir


ALOR SETAR - Tular di ruang media sosial sebuah klip rakaman ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyelar bekas Timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan "gila" mahu menjadi Perdana Menteri.

Video yang difahamkan telah dirakam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu itu dikatakan telah tular sejak nama Mahathir dipilih untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi mewakili Pakatan Harapan.

"Yang diperjuangkan ialah (untuk menjadi) Perdana Menteri. Nak jadi Perdana Menteri, gila-gila nak jadi Perdana Menteri. Orang lain bila disingkir daripada UMNO, mereka berdiam diri dan tak buat apa-apa dah.

"Tapi (dia) bila disingkir daripada UMNO, mereka melemparkan fitnah terhadap UMNO dan cuba mendapatkan sokongan daripada parti lawan supaya niat untuk jadi Perdana Menteri itu akan tercapai," kata Mahathir dalam ucapan tersebut.

Mahathir mendakwa, sikap pemimpin sebegitu adalah amat cetek sekali perjuangannya dan "patut" diwujudkan sehingga 100 jawatan Perdana Menteri di negara ini supaya dapat diberikan satu jawatan tersebut kepada Anwar.

"Orang ini perjuangannya amat cetek sekali. Hanya untuk jadi Perdana Menteri. Saya fikir, negara kita ini patut ada 50 ataupun 100 Perdana Menteri. Boleh la bagi kepada dia satu daripada (jawatan) Perdana Menteri.

"Kalau dia teringin nak duduk di Putrajaya, kita boleh ada bilik untuk dia. Dia boleh sampai ke Putrajaya. Hanya kerana berminat sangat nak jadi Perdana Menteri, bukan nak menjayakan negara kita ini," kata Mahathir.

Walau bagaimanapun, kata-kata sindiran terhadap Anwar itu dilihat kembali kepada Mahathir selepas dirinya dipilih menjadi calon Perdana Menteri "sementara" Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU ke-14 nanti.

Ekoran itu, majoriti netizen khususnya di kalangan orang muda melancarkan kempen #UndiRosak bagi membantah pencalonan Mahathir yang dianggap tidak lagi relevan mengemudi negara selepas 22 tahun diberi peluang memerintah Malaysia.

Difahamkan, Mahathir setuju untuk memohon keampunan DiRaja bagi pihak Anwar bagi membolehkan beliau memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai kerusi Parlimen pada PRU ke-14 ini.

Setelah Anwar mendapat pengampunan, Mahathir juga setuju untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada bekas Timbalan yang beliau pecat itu menyandang jawatan Perdana Menteri ke-8 negara.

Namun begitu, terdapat jangkaan daripada penganalisis politik yang mengatakan kemungkinan Mahathir akan memungkiri janji tersebut dengan pelbagai alasan, sebaliknya membuka jalan baginya untuk melantik individu yang beliau suka sebagai Perdana Menteri.

Turut difahamkan majoriti rakyat di negara ini telah bosan dengan sandiwara politik Pakatan Harapan yang mempergunakan nama "rakyat" kononnya mahu menyelamatkan negara, namun sebaliknya demi survival politik peribadi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com