Geram Punya Pasal, Pekerja Bunuh Majikan Sekeluarga


BERANG sering dimarahi majikan, seorang pekerja kedai runcit bertindak di luar dugaan membunuh secara kejam keluarga majikannya termasuk seorang anak kecil berusia lapan tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Jumaat minggu lalu, suspek yang dikenali sebagai Ridwan, 22, telah membunuh majikannya, Tjisun, 45, dan isterinya, Minarni, 40, serta anak mereka, Callietos Ng, 8 di kediaman mangsa di Kecamatan Kuta Alam, Kota Banda Aceh.

Ridwan bagaimanapun ditangkap polis ketika dia sedang merancang untuk melarikan diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, seminggu selepas kejadian.

Menurut portal Tribunnews, kesemua mangsa ditemui di rumah mereka dalam keadaan  menyayat hati oleh sepasukan polis dari unit Polis Daerah Aceh (POLDA) pada Khamis.

Mayat  Tijisun dijumpai dengan luka di bahagian leher dipercayai ditetek, manakala isterinya pula dalam keadaan terlentang tanpa pakaian dengan bekas luka cekikan di leher

Lebih memilukan, mayat anak mereka ditemui putus tidak berkepala akibat ditetak suspek.


Dalam keterangan Ridwan, dia yang baharu sahaja bekerja dengan mangsa selama sebulan mengaku sering sakit hati kerana kerap dimarahi oleh majikannya itu.

Tidak tahan dengan hal itu, Ridwan nekad melakukan balas dendam dengan menamatkan riwayat majikan dan keluaganya.

Jurucakap Polis,  Kombes Misbahul Munauwar berkata, punca utama suspek bertindak membunuh keluarga majikannya adalah kerana dendam akibat sering dimarahi.

“Suspek yang bekerja di kedai runcit milik mangsa membunuh keluarga majikannya kerana terlalu sakit hati akibat sering dimarahi setiap kali melakukan pekerjaan,” katanya.

Hasil soal siasat dengan suspek juga sekali gus membuktikan dakwaan yang mengatakan kononnya kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu perkauman adalah tidak benar.

“Itu tidak benar. Kes ini diklasifikasikan sebagai jenayah tulen. Keterangan dari suspek sekali gus menepis dakwaan daripada beberapa pihak media yang mengatakan kes ini berkait dengan perkauman,” katanya.

Hasil bedah siasat juga mendapati, terdapat kesan luka pada ketiga-tiga mangsa yang menunjukkan mereka diserang menggunakan pisau.

Difahamkan, suspek akan didakwa kerana membunuh dan bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 18 tahun. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com