Fernandes Puji Pencapaian Skuad B-23 Negara


KUALA LUMPUR - Prestasi membanggakan skuad negara pada aksi Kejuaraan B-23 AFC 2018 turut menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes.

Menerusi akaun Twitter peribadinya, Fernandes nyata teruja dengan semangat juang diperagakan anak buah Datuk Ong Kim Swee pada aksi suku akhir bertemu Korea Selatan di Kunshan, China itu.

Beliau turut menyanjung persembahan skuad muda negara meskipun terpaksa akur 2-1 di tangan finalis edisi 2016 itu.

"Sudah begitu lama sejak kita memberi saingan yang sengit kepada pasukan Korea Selatan.

"Syabas kepada semua pihak yang terbabit khususnya jurulatih Ong. Satu kekalahan yang memeritkan tetapi skuad Harimau Muda sepatutnya berbangga dengan pencapaian anda.

"Berbanggalah sebagai pasukan Asia Tenggara pertama yang berjaya mara ke peringkat suku akhir kejohanan itu," kata pemilik pasukan Queen Park Rangers (QPR) itu, kelmarin.

Pada aksi suku akhir di Stadium Kunshan itu, Malaysia tersentak apabila Korea Selatan mendahului seawal 12 saat hasil penyudah Cho Jae-Wan.

Namun penyerang gantian, N Thanabalan kembali menceriakan skuad negara dengan jaringan penyamaan selepas menanduk masuk hantaran lintang Safawi Rasid pada minit ke-67.

Ketika perlawanan berbaki lima minit, Hang Seung-gyu memusnahkan harapan Malaysia untuk mencipta kejutan ke separuh akhir apabila meledak gol kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir bertemu Uzbekistan yang menewaskan juara bertahan, Jepun 4-0 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Terdahulu, anak buah Kim Swee itu berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan C sekali gus mengiringi Iraq selaku naib juara.

Dua lagi perlawanan menyaksikan mereka tewas 4-1 di tangan Iraq pada aksi pembukaan sebelum bangkit mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com