Faiz Bakal Calon Kapten Skuad Harimau Kumbang?


GEORGE TOWN – Persoalan misteri siapakah bakal dilantik sebagai kapten baharu Pulau Pinang dalam menghadapi Liga Perdana bermula awal bulan depan akan terjawab tidak lama lagi.

Selepas ketiadaan Raffiudin Roddin yang berpindah ke pasukan negeri jiran, Perak, kekosongan jawatan panas itu turut membuatkan ramai peminat tegar sukan bola sepak skuad Harimau Kumbang mulai tertanya-tanya.

Namun Faiz Subri, pemenang Anugerah Puskas 2016 akhirnya membuka rahsia apabila dipilih sebagai kapten ketika menang 3-2 ke atas Perlis pada aksi persahabatan di Stadium Negeri, Batu Kawan pada Khamis lalu.

Beliau yang berasal dari Ayer Hitam, Kedah itu namun berkata, kepercayaan yang diberikan untuk perlawanan persahabatan tersebut adalah satu penghormatan bagi dirinya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Biarpun terlalu awal untuk membuat andaian, tetapi sebagai pemain senior dan kini berusia 30 tahun, jika terpilih ia sebenarnya menjadi tanggungjawab yang harus dipikul beliau dengan baik untuk musim baharu tahun ini.

“Pemilihan saya baru-baru ini sebetulnya hanya satu ujian dan sebagai percubaan untuk melihat sejauh mana kemampuan diri saya sendiri untuk mengetuai jentera pasukan di padang sama ada layak atau pun sebaliknya.

“Sebenarnya bukan saya seorang saja dipilih. Ada beberapa pemain lain turut disenaraikan tapi segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan dan pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Faiz, sebagai pemain siapa juga yang akan dilantik perlu menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan misi Pulau Pinang kembali semula ke Liga Super menjadi kenyataan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com