Enam Nelayan Dijangka Dibebaskan Sebelum Tahun Baharu Cina


PONTIAN - Enam nelayan Malaysia yang masih ditahan  di Indonesia  kerana menceroboh perairan negara itu dijangka akan dibebaskan sebelum Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata persetujuan bagi membebaskan enam nelayan berkenaan telah dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke -12 Malaysia dan Indonesia pada November lepas.

Katanya, beliau juga telah bertemu Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti pada 11 Januari lalu dan pihak  Indonesia telah memberi jaminan nelayan Malaysia yang ditahan akan dibebaskan.

Enam nelayan tersebut ialah Chia Kee Chan, 52 (Sekinchan), Kamarulzaman Awi, 47 (Dungun), Abdul Rashid Nik, 53 (Kuantan), Mahabob Hasimat, 55 (Pontian), Low Siong Huat (Pulau Ketam) dan Leong Bian Seng, 61 (Dungun).

Jelasnya, lokasi tahanan ke enam-enam nelayan tersebut  juga telah dikenalpasti iaitu di Penjara Medan, Pengkalan Penguatkuasa Laut Indonesia di Lanal Terempa Riau, Penjara Tanjung Pinang dan Penjara Batam Indoensia.

“Kedua-dua pemimpin telah memberi jaminan nelayan kedua-dua negara yang ditahan akan dibebaskan dalam masa terdekat dijangka pada akhir bulan ini atau selewatnya bulan depan.

“Tetapi biarlah mereka pulang sebelum Tahun Baharu Cina supaya nelayan dari masyarakat Cina yang ditahan itu dapat berkumpul dengan keluarga seterusnya meraikan perayaan itu nanti,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya urusan pembebasan nelayan berkenaan bukan perkara mudah kerana ia perlu dilakukan mengikut prosedur undang-undang.

“Semuanya perlu mengikut prosedur ditetapkan terutama dari segi perundangan. Negara kita ada undang-undang begitu juga dengan Indonesia.

“Segala kos perbelanjaan bagi proses pembebasan, dokumentasi perjalanan ke enam-enam nelayan tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada  keluarga nelayan Mahabob Hasimat, 54 di Kampung Pulai Sebatang di sini, petang semalam.

Mahabob ditahan di Penjara Tanjung Pinang Indonesia  selepas bot pukat tundanya ditangkap pihak berkuasa Indonesia di Beting 4 Perairan Malaysia- Indonesia pada 11 Julai lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery meminta nelayan yang mencari rezeki di laut sentiasa berhati-hati supaya tidak tersasar memasuki perairan negara asing.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com