Empat Bencana ‘Dahsyat’ Berkait Dengan Supermoon


SECARA kebetulan fenomena gerhana bulan yang bakal berlaku esok juga akan memaparkan fenomena Supermoon.

Namun, tidak ramai tahu bahawa seorang penyelidik Belanda, Frank Hoogerbeets pernah mendakwa konon senario Supermoon pada 31 Januari 2018 akan mengakibatkan berlakunya beberapa kejadian aneh seperti gempa bumi.

Beliau mendakwa kononnya ketika fenomena bulan tersebut berlaku pada 30 Januari hingga 2 Februari 2018 itu akan meletusnya pelbagai fenomena alam yang disebut sebagai ‘amplifikasi’ yakni getaran atau gegaran.

“Fenomena bulan bulat penuh bukan sahaja mencetuskan peningkatan aktiviti seismik atau pergerakan bumi tetapi juga mencetuskan ‘penguatan’ berisiko meningkatkan gerakan berkali-kali.

“Saya menganggarkan akan berlaku gempa bumi berskala 6 hingga 7 pada skala Richter antara 30 Januari hingga 2 Februari,” ujar Hoogerbeets seperti dipetik laman web UK, Express pada Isnin.

Pun begitu, perkara itu diselar oleh banyak para ilmuan termasuk agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS) sendiri.

“Supermoon adalah situasi di mana bulan mengorbit lebih dekat ke bumi daripada biasa, kesannya paling ketara apabila ia bertepatan dengan bulan purnama,” kata Goddard yang merupakan seorang saintis di Space Flight Center NASA seperti dipetik portal Space.com.

Tambah Goddard lagi, kesan supermoon di bumi agak kecil. Pada masa sama, menurut kajian terperinci yang dijalankan ahli seismologi dan pakar gunung berapi, fenomena Supermoon sama sekali tidak menjejaskan keseimbangan tenaga di dalam bumi.

Sementara itu, menurut seorang lagi saintis dikenali sebagai Garvin pula menjelaskan bahawa kuasa dalaman bumi lebih kuat daripada faktor luaran yang dicetuskan.

“Bumi menyimpan sejumlah besar tenaga dalaman di dalam shell atau kerak paling luar. Perbezaan kecil dalam kuasa pasang surut bulan (atau Matahari) tidak dapat mengatasi kekuatan yang lebih besar di dalam planet (Bumi) ini,” ujar Garvin.

Bagaimanapun beberapa sumber menyatakan bahawa ketika fenomena itu berlaku terdapat sejumlah bencana alam dahsyat, khususnya gempa bumi yang mana kebetulan terjadi berdekatan dengan tarikh fenomena Supermoon.

Seperti mana dipetik daripada beberapa sumber, berikut adalah empat gempa bumi kuat yang berlaku bersebelahan dengan fenomena Supermoon:

1. Gempa dan Tsunami Di Aceh, Indonesia.


Gempa berukuran 9.1 skala Richter melanda wilayah Aceh pada 26 Disember 2004 yang mengakibatkan berlakunya gelombang tsunami.

Dari Aceh, gelombang gergasi kemudian ‘tempias’ ke 12 negara lain terletak di pesisiran Lautan Hindi iaitu Thailand, Sri Lanka, India, Maldives, Thailand, Myanmar, Malaysia, Somalia, Tanzania, Seychelles, Bangladesh, dan Kenya.

Kejadian itu telah meragut sebanyak 230 ribu nyawa. Sejumlah pihak mengaitkan Tsunami Aceh dengan supermoon yang berlaku 2 minggu selepas, pada 10 Januari 2005. Pun segelintir para ilmuwan meragukan pendapat tersebut.

Ahli geologi dari Middlebury College, Dr. Ray Coish mengatakan kesan bulan yang berlaku hanya beberapa minit tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan tenaga diperlukan untuk menggerakkan plat Bumi.

Gempa dan tsunami Aceh dicetuskan pergerakan plat Lautan Hindi yang direduksi oleh plat Burma pada kedalaman 30 kilometer. Maka, kesan pasang surut yang disebabkan bulan tidak mungkin dapat mencetuskan gelombang gergasi dan menggerakkan Bumi dengan begitu dahsyat.

2. Tsunami Di Jepun pada 2011


Gempa bumi bersaiz 9 skala Richter yang menggegarkan Jepun, berlaku pada 11 Mac 2011 yakni 8 hari sebelum berlakunya supermoon pada 19 Mac 2011.

Namun, seperti dipetik portal LiveScience, seorang saintis Badan Survei Geologi AS atau USGS, John Bellini berkata, itu hanya secara kebetulan sahaja.

Tegas beliau, gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Jepun langsung tidak ada perkaitannya dengan fenomena Supermoon itu.

Korelasi tidak signifikan antara bulan purnama atau bulan baharu dengan aktiviti pergerakan bumi terjadi apabila matahari dan bulan berada dalam kedudukan sejajar (alignment).

Kuasa pasang surut yang lebih kuat daripada biasa akan mengakibatkan pertambahan tekanan pada plat tektonik. Tetapi tekanan itu tidak begitu kuat sehingga bolehmencetuskan gempa bumi.

“Menyalahkan supermoon atas kejadian gempa yang berlaku sama sahaja seperti menyalahkan kejadian kebakaran sebuah rumah pada suspek yang berada di luar bandar ketika kejadian.

“Majoriti kejadian gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, dan bencana lain tidak mengikuti kitaran atau pasang surut Bulan.

“Melainkan sesuatu yang berkembang selama beratus-ratus tahun,” kata Bellini dipetik oleh portal Life’s Little Mysteries.

3. Gempa Bumi Di Christchurch, New Zealand pada 2011


Gempa yang memusnahkan Bandar Christchurch, New Zealand terjadi pada 22 Februari 2011, berlaku tidak terlalu jauh daripada jarak tarikh Supermoon 19 Mac 2011.

Gempa bumi pada 6.5 skala Richter menggegarkan kawasan itu sejurus para penduduk Christchurch bersedia untuk meneruskan rutin harian selepas berehat.

Kesannya sangat ngeri apabila banyak bangunan runtuh dengan serpihannya hempa kenderaan dan orang. Elektrik dan saluran telefon juga mati selain paip air pecah dan airnya membanjiri jalanan. Ekoran ‘kehancuran’ itu, Christchurch diisytiharkan dalam keadaan darurat.

Dalam pada itu, peristiwa yang sama tetap berlaku apabila satu gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter menggegarkan South Island di New Zealand pada 13 November 2016, termasuk bandar Christchurch.

Selepas gegaran itu berlaku, tsunami kemudiannya dilaporkan melanda kawasan berkenaan tetapi tidak secara skala besar.

4. Gempa Bumi Di Haiti pada 2010


Gempa bumi pada 7 skala Richter yang menggegarkan Haiti pada 12 Januari 2010 telah mengorbankan lebih 200 ribu nyawa dan peristiwa itu terjadi berdekatan dengan tarikh Supermoon pada 30 Januari 2010.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 4.30 pagi itu, gegaran yang berlaku di 15 batu dari ibu kota Port-au-Prince di Haiti itu telah mengakibatkan lebih kurang 70 peratus daripada bangunan runtuh.

Lebih sadis, istana presiden turut dilaporkan runtuh ketika kejadian ngeri itu ‘menyapa’ kawasan tersebut. Susulan itu, para ilmuan menemui sesuatu tidak dijangka

Gempa bumi itu bukanlah berpunca daripada kerosakan pada Enriquillo (patahan yang terletak di antara plat Caribbean dan Amerika Utara) seperti yang dijangka sebelum ini. Sebaliknya, ia disebabkan oleh kerosakan baru.

“Kerosakan yang menyebabkan terjadinya gempa bukan Enriquillo, tapi patahan baru,” kata seorang saintis, Calais dalam mesyuarat organisasi geofisika Amerika di Brazil seperti dipetik portal LiveScience.

Bukan itu sahaja, malah gempa itu juga memberi pengajaran kepada tentang kesiapsiagaan menghadapi bencana, termasuk kekuatan struktur bangunan. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com