Elak Anjing Punca Bas Pelancong Korea Terbalik


SERAMAI 20 pelancong warga Korea terselamat sejurus bas persiaran dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Teluk Piah Kanan, Kuala Selangor 8.46 malam semalam.

Kenderaan itu turut membawa dua warga tempatan yang bertugas sebagai pemandu bas dan pemandu pelancong.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, sepasukan 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Tanjung Karang dan Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi itu, bas berkenaan didapati terbalik ke kiri jalan dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan semua mangsa.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan itu," katanya memaklumkan semua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Asri A Wahab berkata, bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menuju ke sebuah hotel di Petaling Jaya.

"Pemandu bas tampil membuat laporan polis di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor 7.44 pagi tadi," katanya memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat cuba mengelak anjing melintas di kawasan itu.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com