Dua Lelaki Dirawat Selepas Minum Sejenis Kopi


GEORGETOWN - Dua lelaki mengalami gejala letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, dipercayai selepas meminum sejenis kopi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata dua lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam keadaan stabil.

"Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP semalam kerana mengalami beberapa gejala antaranya letih dan lemah yang teruk. Dua lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi.

"Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu atau tidak.

Dr Wan Mansor berkata, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian terhadap mangsa dan sampel kopi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami gejala sama supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdulah dalam kenyataan melalui Facebook beliau hari ini berkata, pihaknya mengesan berita yang viral melalui aplikasi WhatsApp berhubung beberapa pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP selepas meminum sejenis kopi.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang membuat siasatan mendalam mengenai perkara itu dan akan memaklumkan kepada umum sebaik mendapat kepastian.

"Masyarakat dinasihat supaya menjaga kebersihan dan keselamatan makanan atau minuman serta segera mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan kesihatan sekiranya mengalami apa-apa gejala penyakit," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com