'Doakan Saya Istiqamah' - Bekas Mak Nyah


KUALA TERENGGANU - "Doakan saya istiqamah dengan jalan keinsafan ini," kata bekas 'mak nyah', Mohd Bakri Abu Bakar, 55.

Beliau yang sebelum ini dikenali sebagai 'Kak Jun' dan berasal dari Kuantan, Pahang, terjebak dengan kancah 'mak nyah' ketika berusia belasan tahun dan hanyut dengan apa yang dinamakannya dunia 'lorong' selama kira-kira 20 tahun.

Beliau berkata, kesedaran untuk insaf dan kembali ke jalan benar datang tiba-tiba pada usia 46 tahun.

"Saya tidak dapat menjawab jika anda tanya mengapa saya berubah. Semuanya kerana kuasa Allah. Allah yang menggerakkan hati saya untuk insaf dan berubah.

"Namun, usaha saya untuk berubah tidak akan mudah tanpa bantuan orang sekeliling terutama ustaz dan doktor yang terus membimbing saya," katanya.

Che Mat sudah dua kali menunaikan umrah.

Beliau yang ditemui di sini, hari ini, berkata besar harapannya supaya perubahan dilakukannya dapat dijadikan contoh kepada rakan lain yang terjebak dengan kancah kegiatan pondan, apatah lagi yang bergantung sara hidup menerusi pendapatan di lorong dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

"Saya mahu beri sokongan kepada rakan-rakan yang mahu berubah. Memang bukan sesuatu yang mudah kerana saya sendiri pernah bergelumang lebih 20 tahun dalam kancah 'mak nyah' ini.

"Saya akui dahulu saya juga mencari pendapatan di lorong di bandar raya ini. Dapat bayaran RM10 hingga RM12 untuk setiap perkhidmatan kepada pelanggan pun sudah cukup nikmat bagi kami," katanya.

Namun Mohd Bakri yang lebih suka disapa sebagai Che Mat mengakui terkilan apabila ibunya tidak sempat melihat perubahan dirinya sebelum wanita itu meninggal dunia pada 1996.

Menceritakan detik dia terjebak sebagai 'mak nyah', Che Mat berkata, kegemarannya bermain dengan rakan perempuan ketika kecil selain naluri yang gemar melihat dirinya berpakaian cantik menyebabkan dia terjerumus ke kancah itu.

"Ketika kecil saya suka bermain masak-masak dengan rakan perempuan lain.

"Pada usia 16 tahun, saya sudah mula keluar rumah untuk mencari keseronokan bersama rakan kerana keluarga seperti tidak faham naluri saya dan enggan melayan kerenah saya yang menjurus kepada naluri perempuan.

"Disebabkan sering keluar rumah, saya berjumpa dengan kelompok 'mak nyah' dan daripada situlah saya mula terjebak sehingga menjadikan kegiatan 'lorong' sebagai punca pendapatan selama berpuluh tahun," katanya.

Dalam pada itu Che Mat yang kini berniaga roti canai sebagai punca pendapatan bersyukur kerana keluarga semakin menerima dirinya dan berharap dapat menarik rakan lain kembali ke pangkal jalan sepertinya.

"Doakan saya istiqamah dan dapat menarik rakan lain berubah bersama-sama saya kerana dugaannya cukup hebat. Memang ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com