Digertak Sindiket, Ejen Hartanah Rugi RM78,990


SUBANG JAYA - Seorang ejen hartanah yang digertak terbabit dengan kes dadah dan hutang oleh sindiket penipuan atas talian kerugian RM78,990 selepas ditipu pada 22 Januari lalu.

Wanita berusia 40-an itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa pegawai khidmat pelanggan sebuah bank tempatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata pemanggil wanita terbabit memberitahu mangsa ada membuat pinjaman peribadi sebanyak RM 50,000 di sebuah bank di Ipoh, Perak namun mangsa menafikan perkara itu.

Katanya, suspek wanita itu kemudian menyambungkan panggilan itu kepada seorang lelaki yang kemudian meminta mangsa datang ke Ipoh dalam tempoh dua jam.

"Suspek memberitahu sekiranya mangsa tidak dapat ke Ipoh dalam tempoh itu, panggilan itu akan disambung ke talian kecemasan Balai Polis Ipoh.

"Talian itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Ang' dan meminta butiran diri mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejurus selepas itu, katanya talian berkenaan kemudian kononnya disambungkan ke Bukit Aman dan mangsa bercakap dengan dua individu dikenali sebagai 'Tuan Herman' dan 'Tuan Yong'.

Katanya, lelaki terbabit mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang dalam akaun bank miliknya dan memindahkan wang terbabit ke akaun baru sekiranya tidak mahu wang di dalam akaun itu dibekukan.

"Mangsa diarah membuka akaun baharu dengan sebuah bank lain kerana kononnya akaun bank lamanya digunakan satu sindiket untuk transaksi dadah didalangi seorang lelaki bernama 'David Lau' yang turut memperalatkan 300 akaun bank milik individu lain.

"Mangsa yang bimbang wang dalam akaunnya dibekukan bertindak memindahkan semua wangnya ke dalam akuan baharu yang didaftar melalui khidmat perbankan atas talian seperti diarahkan oleh suspek," katanya lagi.

Katanya, mangsa membuat laporan polis selepas menyedari ditipu apabila semua wang dalam akaunnya lesap.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. 

Sumber: BHOnline

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com