Dedah Segera Nama 13 Hotel Larang Bertudung


KUALA LUMPUR – Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) menggesa Kementerian Sumber Manusia mendedahkan 13 nama hotel yang didapati mengamalkan polisi larangan bertudung kepada pekerja Islam bagi membolehkan tindakan tegas diambil dengan segera.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, isu tersebut perlukan penyelesaian segera kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan beragama yang menjadi tunjang kestabilan negara.

“Ini bukan hal main-main. Jika sudah terbukti 13 hotel mengamalkan polisi larangan bertudung, dedahkan sahaja nama hotel tersebut supaya Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dapat lakukan tindakan seterusnya.

“Berapa lama lagi pekerja yang menjadi mangsa penindasan oleh majikan mereka sendiri harus menunggu jawapan bagi membela nasib mereka yang diperkotak-katikkan di negara sendiri?” soalnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang memaklumkan terdapat 13 hotel mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja selepas pemeriksaan dan siasatan pihaknya melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Sumber Manusia juga telah mengadakan perbincangan bagi mengkaji cadangan peruntukan baharu di bawah Akta Kerja 1955 khusus untuk menyegerakan usaha kerajaan menangani larangan diskriminasi di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, cadangan peruntukan baharu tersebut perlu mengutamakan hak asasi pekerja dan agama yang bersesuaian dengan budaya dan tatacara masyarakat Melayu.

Sementara itu, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, JTK perlu tegas dan berani bertindak sekiranya mahu isu berkenaan ditangani dengan segera.

“Kuasa sudah diberi kepada JTK sama ada untuk membuat teguran, amaran atau pendakwaan kepada pihak majikan yang telah melakukan pelanggaran mana-mana peraturan dan undang-undang perburuhan negara.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com