DBKL Mula Pasang Jaring Keselamatan Di PPR


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memulakan pemasangan jaring di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur bagi mengelakkan kejadian tidak diingini akibat pembuangan barang dari tingkat atas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemasangan jaring berkenaan membabitkan 72 PPR di Kuala Lumpur yang merangkumi 494 blok dengan kira-kira 80,000 unit rumah.

“Ada PPR yang sudah memulakan pemasangan jaring dan melalui tindakan ini, kita tidak mahu kejadian ditimpa objek dibaling dari atas berulang kembali.

“Insiden mati (ditimpa objek) ini adalah pertama kali namun, perbuatan membuang barang dari atas sudah berkali-kali dilakukan dan ini mendatangkan pelbagai masalah,” katanya kepada pemberita pada pelepasan Konvoi Kibar Bendera sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Putra, Putrajaya semalam.

Pada 15 Januari lalu, remaja lelaki, 15, menemui ajal selepas ditimpa kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam kira-kira jam 8.30 malam.

Mangsa S Sathiwaran pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan berjalan bersama ibunya S Kasthurivai, 45, untuk naik ke rumahnya di tingkat 16 selepas pergi ke kedai runcit di bawah PPR itu.

Berhubung program hari ini, Tengku Adnan berkata, konvoi itu adalah kerjasama Jabatan Penerangan Kuala Lumpur, DBKL serta pelbagai agensi lain membabitkan 22 kenderaan pacuan empat roda, tiga ambulans, 11 motosikal dengan 100 peserta.

“Mereka menjelajah tujuh lokasi perhentian bermula Putrajaya serta berakhir di Pantai Dalam, Kuala Lumpur bagi mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan di setiap lokasi perhentian.

“Perasmian penutup disempurnakan Penaung Muafakat Komuniti 1Malaysia Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Dataran PPR Cempaka, Lembah Pantai,” katanya. 

Sumber – HMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com