DAP Juga Terus Pertikai Mahathir Calon PM Pakatan Harapan


Pakatan Harapan terus dibidas oleh parti-parti pembangkang sendiri, termasuk DAP kerana mencalonkan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 93, sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU14.

Selain disifatkan seperti cerita dalam 'filem Tamil' oleh Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran ekoran penanamaan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, kini anak perempuan kepada mendiang pemimpin kanan DAP, Karpal Singh, Sangeet Kaur Deop pula mempersoalkan apakah pakatan pembangkang itu ketandusan calon.

Selain kekurangan strategi gabungan itu pada masa depan, Sangeet Kaur berkata pemilihan Mahathir sekali lagi akan memperkenalkan semula kelahiran 'Mahathirisme'. 

Tumpuan seharusnya diberikan pada soal dasar dan prinsip malah pemimpin juga perlu diasuh untuk memastikan kesinambungan ke­pimpinan, katanya yang dipetik daripada FMT.

“Walaupun ia mungkin satu tindakan terdesak seperti gabu­ngan kita dengan Pas satu ketika dahulu, adakah kita terbuka untuk bekerja dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak satu hari nanti sekiranya keadaan terdesak,” katanya dalam kenya­taan itu.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP Ahad lalu  meng­umumkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak.

Dalam pada itu Sangeet Kaur menambah  hujah ba­hawa kerjasama dengan Dr. Mahathir hanya untuk memastikan perubahan berlaku di negara ini tidak lagi boleh diguna pakai.

Selain itu, katanya, permohonan maaf Dr. Mahathir mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kesalahan lain yang dilakukan semasa menjadi Perdana Menteri juga tidak dilakukan de­ngan sepenuh hati.

“Ini bukan mengenai pengampunan, ia adalah soal akauntabi­liti kerana orang yang mempu­nyai kedudukan serta kuasa harus bertanggungjawab terhadap ke­dudukan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Sangeet Kaur turut mempersoalkan sikap pe­mimpin pakatan pembangkang yang seolah-olah berdiam diri seperti menerima permohonan maaf Dr. Mahathir itu.

Sebelum ini beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang dan DAP Melaka meninggalkan DAP kerana tidak besetuju parti itu bekerjasama dengan Dr. Mahathir. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com