Dakwah Satu Proses Memujuk Bukan Mengutuk


SEJARAH membuktikan, Islam tersebar ke seluruh negara dan pernah menguasai satu pertiga dunia bukan kerana penaklukan menerusi peperangan, sebaliknya atas keindahan serta kecantikan ajaran Islam itu sendiri.

Ia diserlahkan oleh peribadi dan teladan pendakwah pada masa itu yang mencontohi kaedah dakwah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika menyebarkan Islam kepada kaum Quraisy pada era kerasulan Baginda.

Rasulullah menyampaikan dakwah secara damai dan sejahtera tanpa sebarang kekerasan. Seruan perdamaian yang mengajak manusia untuk tunduk kepada syariat Allah SWT merupakan keutamaan dianjurkan dalam Islam.

Sebaliknya peperangan adalah pilihan terakhir yang hanya berlaku setelah rundingan untuk berdamai ditolak oleh pihak musuh. Ia seperti mana firman Allah SWT maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (al-Anfal: 61)

Dalam mengutamakan kesejahteraan manusia, Islam tidak membezakan setiap individu berdasarkan bangsa dan keturunan. Malah, Islam adalah agama kasih sayang dan kesaksamaan, malah kemuliaan manusia hanya diukur berdasarkan nilai takwa di sisi Allah.

Firman Allah SWT maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwa antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Al-Hujurat: 13)

ISLAM AGAMA PERDAMAIAN

1. Islam adalah agama perdamaian dan ia terbukti apabila tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Kita diperintahkan untuk berdakwah dengan mempamerkan kebaikan dan keindahan Islam kepada manusia melalui kemuliaan akhlak, kebaikan serta keharmonian Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 256 maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)...”

2. Ini lebih jelas terbukti menerusi perintah Allah menyuruh kita berdakwah secara hikmah, bukan secara kekerasan dan keganasan yang boleh memburukkan imej Islam. Dakwah adalah proses memujuk, bukan mengutuk, menenangkan bukan menyerang, mendidik bukan mengherdik.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (al-Nahl: 125)

3. Bukti lain menunjukkan Islam sebagai agama perdamaian adalah Islam menitikberatkan penjagaan nyawa setiap manusia. Perbuatan membunuh tanpa hak adalah diharamkan oleh Allah.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram antara kamu.” - Riwayat Bukhari

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com