Cheng Hoe Ke China Pantau Pemain Muda


KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan akan ke China, hari ini bagi menyaksikan Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) AFC 2018 membabitkan skuad muda negara.

Cheng Hoe menjelaskan, tujuan utamanya ialah memantau dan menilai barisan pemain skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sebagai persediaan diserapkan dalam skuad senior Harimau Malaya.

Malah, bekas pengendali Kedah itu percaya kejohanan berkenaan memberi peluang terbaik untuk beliau melihat sendiri kemampuan pemain muda negara beraksi di peringkat antarabangsa selain bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Mungkin saya akan berada di sana (China) sehingga tamat saingan kumpulan dan menyaksikan tiga perlawanan membabitkan pasukan negara.

"Sepanjang aksi itu saya boleh melihat sendiri persembahan barisan pemain muda kita kerana dalam skuad itu juga ada beberapa pemain pernah dipanggil menyertai skuad senior sebelum ini.

"Malah, kebanyakan pemain dalam skuad itu mempunyai kualiti walaupun masih muda. Jadi, jika mereka bermain bagus, sudah pasti saya akan memberi peluang untuk mereka sertai skuad senior pula," katanya ketika dihubungi, semalam.

Anak buah Kim Swee akan memulakan saingan Kumpulan C berdepan Iraq pada Rabu ini sebelum menentang Jordan (Sabtu) dan Arab Saudi (16 Januari).

Beberapa pemain termasuk Adam Nor Azlin, Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid adalah antara pemain skuad B-23 dalam skuad Harimau Malaya mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2019 sebelum ini.

Setakat ini, Cheng Hoe yang dilantik mengemudi skuad kebangsaan awal bulan lalu selepas Nelo Vingada melepaskan jawatan, masih belum berpeluang untuk menguji Harimau Malaya.

Namun, ketika ditanya mengenai perancangannya untuk Harimau Malaya, Cheng menjelaskan ia masih di peringkat awal.

"Beberapa perancangan untuk skuad kebangsaan sudah ada, cuma ia masih belum dimuktamadkan," katanya.

Skuad negara akan mengharungi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan pada Mac ini selain bakal mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki hujung tahun ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com