Cawangan Pertama CIMB Islamik Di Kedah Bakal Dibuka Tahun Ini


ALOR SETAR - CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) merancang membuka cawangan pertama CIMB Islamik di Kedah pada suku kedua tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata cawangan itu bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap produk perbankan berasaskan Syariah.

Kata beliau, hingga kini CIMB Islamik mempunyai 14 cawangan di Kelantan dan Terengganu.

Tambahnya, Kedah akan menjadi negeri ketiga di Malaysia yang mempunyai cawangan CIMB Islamik yang menawarkan semua perkhidmatan dan produk yang ada pada bank konvensional.

"Hingga kini kita masih mengkaji keperluan membuka cawangan CIMB Islamik pertama di Kedah untuk memenuhi permintaan pelanggan kita di negeri ini.

"Namun permintaan terhadap produk Islamik di wilayah utara adalah tinggi selain di Kelantan dan Terengganu yang sudah mempunyai cawangan," katanya memetik BH Online.

Mengulas lanjut hal tersebut, Tengku Zafrul berkata, walaupun Kedah belum mempunyai cawangan CIMB Islamik, produk Islamik sudah ditawarkan di semua cawangan bank itu di negeri ini.

Tengku Zafrul berkata berikut ketika ditemui semasa penganjuran Karnival Kewangan Kedah 2018 yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad di Pusat Konvensyen dan Hotel TH, di sini.

Selain astaka CIMB Group, karnival tersebut turut menghimpunkan 53 institusi kewangan membabitkan 19 bank, 11 syarikat insurans, takaful, 23 persatuan dan agensi kerajaan berkaitan yang akan memberi khidmat nasihat dan menawarkan produk kewangan.

Kedah adalah lokasi keempat penganjuran karnival kewangan yang turut disertai CIMB Group yang sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com