Calon PM Pakatan Harapan Tidak Lagi Bertenaga Untuk Pimpin Negara - Takiyuddin


TIDAK pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, Perdana Menteri yang meletak jawatan atau bersara, kemudiannya kembali bertanding.

Dalam hal  ini PAS mengulangi nasihatnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berehat kerana sudah tidak bertenaga lagi memimpin negara dalam usia 93 tahun.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pengundi ketika ini memerlukan pemimpin lebih muda, sihat, bertenaga, berketerampilan dan memenuhi cita rasa rakyat yang majoritinya golongan muda.

"Dr Mahathir tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana sudah melepasi usia 90 tahun, sebaliknya perlu memberi peluang kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin.

Semalam Dr. Mahathri yang baru-baru ini dinamakan sebagai calon "Perdana Menteri Pakatan Harapan" meminta PAS menamakan calon Perdana Menteri daripada parti Islam itu. 
  
Dr. Mahathir juga bagai menyindir PAS apabila bertanya sama ada parti itu menyokongnya atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan  Takiyuddin itu jelas bahawa PAS tidak menyokong  Dr.Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU akan datang.  

Dalam pada itu Takiyuddin  juga menyatakan beliau amat bersimpati terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana sudah tidak berkeupayaan lagi untuk memimpin negara.

"Bagi saya, beliau (Dr Mahathir) sudah melepasi waktu dan zaman. Malaysia ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk menjadi Perdana Menteri dan mempunyai wawasan yang lebih panjang...jangan jadi Perdana Menteri dua tiga tahun, selepas itu sudah tidak mampu, "katanya lagi .

Sementara itu beliau juga hairan dengan amalan pakatan pembangkang kerana sebelum ini apabila membuat sebarang keputusan memerlukan persetujuan semua.

Namun kata beliau pada kali ini difahamkan bahawa pemilihan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri atas dasar majoriti iaitu disokong tiga parti dan dibangkang satu parti (PKR).

Dr Mahathir sebelum ini membayangkan akan bertanding dalam PRU-14 nanti di salah satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Kubang Pasu merupakan parlimen yang paling lama diwakili oleh Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PPBM itu.

Dr. Mahathir pernah kalah semasa menjadi calon BN di Parlimen Kota Star Selatan pada 1969 kepada pemimpin PAS,  Yusoff Rawa. - Kedahnews.com.


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com