Cabul Kerani, Penganggur Warga Yaman Didakwa


PETALING JAYA – Seorang penganggur warga Yaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang kerani wanita, dua minggu lepas.

Muhammad Ali Abdullah Al Masnaim, 33, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita yang berusia 26 tahun itu dengan niat hendak mencabul kehormatan dengan memegang bahu sebelah kanan dan cuba mencium pipinya dalam lif, sebuah pangsapuri di Serdang, dekat sini, pada 3 pagi, 20 Disember tahun lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh tidak membuat rayuan kerana tidak mempunyai penjamin.

Majistret Nurulhuda Zakariya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Februari untuk sebutan semula kes. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com